Kad NFC dijual oleh TnG pada harga RM10 di stesen minyak tertentu atau menerusi aplikasi TnG tetapi kekurangan stok menyebabkan produk itu sering dicari oleh pengguna.
Kelemahan itu terus disambar oleh "scalpers" yang memborong kad-kad itu dan menjualnya dengan harga sehingga lapan kali ganda.
Pemerhatian Careta hari ini mendapati bahawa kad NFC itu masih dijual pada harga setinggi RM85 di aplikasi Mudah.my.
Rakan saya ada memberitahu bahawa kad NFC TnG itu tidak tersenarai sebagai barangan kawalan dan mungkin tidak menjadi kesalahan untuk pihak ketiga meraih keuntungan berlipat ganda dari penjualan kad itu.
Saya juga tidak nampak pihak TnG membuat tindakan serius untuk memastikan pengguna tidak ditekan walaupun rakyat sudah acapkali menyuarakan masalah itu di media sosial. Tidak ada kawalan untuk jumlah kad yang boleh dibeli oleh setiap individu dan jika ada pun, bagaimana pula penjual-penjual "Yahudi" ini boleh membolot beratus-ratus keping kad untuk dijual semula pada kadar yang tinggi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata empat aduan rasmi telah diterima oleh KPDNHEP dan ia telah mengesan 13 iklan jualan kad tersebut membabitkan beberapa platform dalam talian.
Menurut laporan Berita Harian, sebanyak 11 premis diperiksa berhubung kes tersebut dan enam notis menurut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan.
Nanta seterusnya berkata kegagalan pihak terbabit untuk memberi respon rasmi boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas.
KPDNHEP dijangka akan bertemu dengan syarikat TnG minggu ini untuk mendapatkan status kaedah penjualan kad NFC dan status kekurangan bekalannya.
Diharapkan agar isu ini selesai dalam masa terdekat kerana kad NFC adalah untuk kegunaan umum dan ia membantu proses mobiliti rakyat.