Isu jalan buruk - bukan tanggung jawab JKR sahaja

oleh HEZERI SAMSURI|
Isu jalanraya buruk yang penuh dengan lubang-lubang dan jalan mendap bukan satu isu baharu untuk Malaysia.

Ia adalah masalah untuk kebanyakan negara, terutama negara dunia ketiga dan negara membangun. Malah, negara maju juga masih mempunyai isu yang sama untuk jalan-jalan di kawasan pedalaman.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Penyelenggaraan jalanraya sepanjang jutaan kilometer bukan satu usaha mudah, dan murah. Namun begitu, jumlah jalanraya yang buruk boleh dikurangkan, terutama untuk jalan-jalan utama yang digunakan bukan sahaja oleh rakyat, tetapi untuk kepentingan perdagangan.

Pengalaman saya baru-baru ini memandu untuk ekspedisi kami di kawasan tengah Sabah mengukuhkan lagi anggapan saya berkaitan isu ini - tidak adil untuk meletakkan 100 peratus tanggung jawab kepada Kementerian Kerja Raya dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

 

 

1. Kenderaan berat - punca utama

  • Kenderaan berat memang punca utama kerosakan jalanraya. Datang sahaja ke Pelabuhan Klang dan keadaan jalanraya di sana sudah hampir menyerupai permukaan bulan.
  • Dari Keningau ke Tawau dan dari Sandakan ke Ranau di Sabah, kami lihat sendiri keadaan jalanraya yang teruk dan bila dibaiki, ia akan musnah kembali dalam masa beberapa bulan sahaja.
  • Ini ialah kerana kenderaan berat yang melalui jalan-jalan itu kemungkinan besar membawa muatan lebih dari had, dan kelajuan yang tinggi menjadi punca jalanraya menjadi beralun.
  • Kelajuan dan berat kenderaan-kenderaan besar ini perlu dikawal bukan sahaja untuk tujuan keselamatan pengguna lain, tetapi untuk menjamin jalanraya tahan lebih lama.
  • Dari apa yang saya lihat sendiri, lori-lori balak yang melalui jalan tersebut tidak memperlahankan kenderaan mereka walaupun di seksyen jalanraya buruk. 
  • Memang mengejutkan tetapi menurut rakan-rakan di sini, ia adalah satu perkara normal.
  • Mungkin cara terbaik ialah meningkatkan lagi cukai jalan bagi lori balak, dan cukai itu digunakan semula untuk membaiki jalan-jalan yang rosak. 

 

 

2. Had muatan perlu dikaji

  • Had muatan juga perlu dikaji kerana lori-lori sekarang sudah cukup selamat untuk membawa muatan yang lebih berat. Keadaan sekarang seolah-olah "mencipta" peluang untuk menyaman pemandu-pemandu tersebut.  
  • Denda "overloading" juga perlu ditingkatkan untuk menjamin semua, terutama syarikat pemilik lori itu sendiri, takut untuk melanggarnya. 
  • Ia patut diiringi dengan penguatkuasaan yang lebih kerap dan telus, bukan bermusim. Stesen timbang juga patut dibuka sentiasa, menurut jadual yang ketat.
  • Had muatan yang tinggi juga memerlukan jambatan yang kukuh dan dari apa yang saya tahu, spesifikasi jambatan-jambatan yang ada sekarang sudah lebih dari cukup untuk menampung muatan yang lebih tinggi.
  • Jika muatan berat ditingkatkan dan semua orang mematuhinya, lebih mudah untuk kita membina jalanraya yang menurut piawaian yang tepat dan tahan lebih lama. 

 

 

3. Sistem kewangan yang lebih telus

  • Kita kena pastikan cukai-cukai dan hasil denda dari kenderaan berat ini disalurkan kembali untuk membaiki jalan-jalan.
  • Sekiranya sistem ini diikuti dengan betul, kita tidak perlu menggunakan dana lain untuk memastikan keadaan jalanraya menjadi lebih baik.
  • Tak perlu untuk tunggu PRU sahaja untuk melihat jalanraya dibaiki. Itu adalah perangai lapuk dan perlu ditukar.
  • Jalanraya yang dijaga mampu menjimatkan kos operasi negara agar cukai dari rakyat boleh disalurkan ke perkara yang lebih penting - pendidikan dan perubatan contohnya.

 

 

Jujurnya, saya rasa sedih melihat keadaan jalanraya di beberapa kawasan di Malaysia, seperti di daerah Kalabakan seperti gambar di atas. Terasa seperti saya kembali ke zaman silam, atau seperti saya sedang melawat Indonesia pula.

Jika saya tinggal di kawasan-kawasan tersebut, memang saya rasa seperti rakyat yang dipinggirkan dan tidak penting di mata pemimpin-pemimpin.

Tak perlulah saya bercerita tentang keselamatan pengguna dan ganti rugi kos pembaikan kenderaan kerana kita semua sudah faham. Yang paling menyedihkan ialah bila penduduk di sana sudah mangli dan "menerima" nasib mereka. 

Mungkin mereka sendiri sudah putus harapan. Mungkin juga kawasan mereka tidak begitu mendatangkan hasil kepada negara, tetapi tidak mungkin pemimpin melupakan mereka, terutama menjelang pilihanraya.

Namun begitu, sebagai seorang yang sentiasa cuba berfikiran positif, saya rasa kerajaan kali ini boleh mengubah keadaan tersebut demi kesejahteraan rakyat. 

Hmmm... macam pernah terdengar pula ayat terakhir itu kan? 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kedalaman lubang benam itu dianggarkan sedalam satu meter. Kebocoran paip kumbahan disyaki menjadi…
Berita Domestik
“Hasil semakan mendapati lokasi jalan raya yang tular itu adalah di Jalan Hj Abdul Manan (Jalan…
Berita Domestik
"Laluan terbabit dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya mulai jam 4 petang pada 1 Mei 2024 (…