Hasil dari siasatan itu, CAM telah mengenal pasti 600 unit Omoda 5 yang disyakki terbabit dan CAM akan memanggil kesemua pemilik berdasarkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) untuk hadir ke pusat servis.
"Unit-unit yang terbabit akan diperiksa dan komponen gandar belakang (rear axle beam) akan ditukar. Proses ini akan mengambil masa sekitar dua jam. Kami juga akan memastikan bahawa alatganti yang diperlukan itu ada dalam simpanan.
Untuk pemilik-pemilik Omoda 5 yang tidak dipanggil, ini bermakna kenderaan mereka tidak terbabit di dalam kempen panggil semula ini.
Mereka bagaimanapun boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian +603- 2771 7070 untuk pemeriksaan ke atas kenderaan mereka," terang Lee ketika ditemuramah Careta di Wuhu, China sebentar tadi.
Lee juga berkata CAM akan menerbangkan masuk alatganti berkaitan agar tidak ada masalah kekurangan stok. Beliau juga berkata kenderaan-kenderaan yang terbabit itu masih selamat dipandu, cuma mereka harus segera ke pusat servis untuk melakukan pertukaran komponen.
Beliau juga berkata CAM sudah memberitahu agensi-agensi kerajaan yang terbabit berkaitan isu tersebut. Berkaitan kes sebelum ini di mana seorang pemilik Omoda 5 mengadu kegagalan sistem brek, Lee berkata mereka telah memanggil pemilik tersebut untuk mengambil semula kenderaan beliau.
"Hasil siasatan rapi CAM, dan selepas diuji oleh Puspakom, kami tidak menjumpai sebarang masalah atau isu pada sistem brek unit itu," terang Lee.
Sejak dilancarkan pada bulan September tahun lalu, CAM telah berjaya menjual lebih dari 7,000 unit SUV model Omoda 5 ini (sehingga Mac 2024) di Malaysia.
CAM tekad untuk memastikan kepentingan dan keselamatan pelanggan mereka berada di taraf tertinggi demi pengalaman pemilikan yang terbaik.
Februari lalu, Chery Motor Australia telah melakukan kempen panggil semula untuk Omoda 5 kerana sistem brek yang bermasalah.
Sebanyak 5,901 unit yang terlibat di mana isu dari proses pembuatan yang menyebabkan cecair brek bocor dan mengurangkan prestasi membrek.

Tidak semua unit yang terjual di Australia dilaporkan terbabit dan tiada laporan yang menyatakan ia membabitkan unit pasaran di negara lain, termasuk Malaysia.
Secara dasarnya, syarikat automotif tidak akan menyorok isu-isu berkaitan keselamatan kerana implikasi yang buruk dari segi undang-undang dan juga imej jenama yang boleh tercalar.
Sekiranya ada isu yang berkait dengan keselamatan, syarikat kenderaan akan terus melakukan siasatan di semua pasaran di mana model itu dijual.
Lebih penting ialah bagaimana situasi itu diuruskan oleh syarikat kenderaan kerana Malaysia masih lagi kekurangan dari segi undang-undang berkaitan pengguna.
Mungkin di Malaysia, pihak berkuasa boleh lebih aktif dalam menunjukan keperihatinan mereka dalam situasi sebegini agar dilihat lebih pro aktif.
Di bawah ialah siaran akhbar rasmi dari CAM yang dikeluarkan sebentar tadi.