Menurut Toyota Motor North America, SUV Corolla Cross yang dipanggil semula itu perlu diperiksa semula berikutan risiko beg udara penumpang hadapan yang mungkin tidak berfungsi seperti sepatutnya disebabkan oleh ralat pembuatan pada panel instrumen.
Tambahnya, kesilapan yang berlaku semasa proses pemeriksaan dibuat pada kempen recall yang terdahulu menyebabkan mereka terlepas pandang sebilangan kecil Corolla Cross yang memerlukan pembaikan.
Dianggarkan sebanyak 12,600 unit Corolla Cross tahun 2022-2023 yang diproduksikan antara 7 September 2021 hingga 4 Mei 2023 terjejas, dan setiap pemilik akan dihubungi untuk proses selanjutnya.
Pihak pengedar Toyota akan memeriksa kesemua kenderaan yang terbabit, dan akan menggantikan panel instrumen yang bermasalah tanpa sebarang kos sekiranya diperlukan.
Toyota turut menyarankan para pemilik Corolla Cross untuk mengosongkan kerusi penumpang hadapan bagi mengelakkan sebarang kecederaan sehinggalah kenderaan tersebut diperiksa dan diperbaiki.
Sumber: Toyota Motor North America