IPD Klang Selatan kenal pasti empat lokasi utama kemalangan maut

oleh Mohamad Hanif|
gambar hiasan, sumber: Kosmo
Empat lokasi yang sering berlaku kemalangan maut telah dikenal pasti di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, terutama membabitkan mangsa yang menunggang motosikal.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong menyebut empat lokasi tersebut ialah Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Pelabuhan Barat dan jalan pintasan (Jalan Pelabuhan Barat menghala Jalan Pelabuhan Utara).

“Kesemua jalan berkenaan juga ialah kawasan yang kerap dilalui oleh kenderaan berat," katanya kepada pemberita selepas Program Op Selamat 19/2023 peringkat IPD Klang Selatan, di sini hari ini.

Program Op Selamat 19/2023 peringkat IPD Klang Selatan dilancarkan bermula hari ini hingga 27 Jan bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika pulang ke kampung sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata operasi itu turut memberi fokus kepada kesedaran awam berkenaan jenayah kehilangan harta benda di rumah atau premis yang ditinggalkan sepanjang tempoh perayaan berkenaan.

Sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina, 80 peratus anggota IPD Klang Selatan akan bertugas membuat rondaan, operasi serta bersiap sedia di balai masing-masing.

Cha turut menasihati orang ramai yang tidak pulang ke kampung untuk menjadi mata dan telinga pihak polis bagi melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan di dalam kawasan mereka.

Katanya, kira-kira sejuta penduduk termasuk warga asing dan ratusan ribu unit rumah berada dalam kawasan seliaan pihaknya yang perlu dipantau sepanjang musim perayaan ini.

Sumber: Bernama