Intip penguatkuasa JPJ - 7 tonto ditahan

oleh SALINA JALIL|
gambar dari Harian Metro
Menunggu di luar pekarangan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kemudiannya memberi maklumat kepada pemandu atau pengusaha syarikat lori sama ada terdapat anggota penguat kuasa jabatan itu keluar membuat operasi.

Ia antara taktik yang digunakan kumpulan 'tonto' di Pulau Pinang bagi mengelak lori membawa lebih muatan diambil tindakan.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dihidu JPJ Pulau Pinang selepas menahan tujuh tonto berusia lingkungan 20 hingga 40-an dalam Op Tonto yang diadakan hari ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata, pihaknya mengesan pergerakan kumpulan itu yang didapati kini berada di sekitar pejabat atau cawangan JPJ bagi memaklumkan kepada pemandu atau syarikat pengusaha lori sekiranya terdapat anggota penguatkuasa JPJ keluar membuat operasi.

 

"Mereka didapati berada sama ada di pintu masuk hadapan atau belakang yang mana kerja mereka selesai selepas kenderaan penguat kuasa JPJ balik semula ke pejabat.

 

"Taktik yang digunakan mereka itu berjaya dihidu pihak JPJ dan terus melancarkan operasi dengan menahan tujuh tonto yang tiga daripadanya didapati positif dadah melalui ujian saringan awal air kencing yang dijalankan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini, hari ini.

 

Menurutnya, operasi itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

Dalam operasi yang bermula pada 8.30 pagi hingga 10 pagi itu, JPJ turut menyita enam motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan tonto berkenaan.

 

SKMM pula merampas tujuh peranti elektronik yang digunakan mereka dalam kegiatan itu.

 

Sementara itu, Adenan berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi untuk mengambil tindakan ke atas tonto yang mengganggu tugas penguatkuasaan dengan membocorkan maklumat kepada pengusaha serta pemandu lori.

 

"Kita dapati tonto ini kebanyakan banyak melindungi lori jenis tipper, kargo, tangki dan pembancuh simen yang pengusahanya mahu mengejar keuntungan.

 

"Bayaran yang diberikan kepada tonto juga boleh dikatakan agak tinggi apabila ia mencecah lebih RM300 sehari," katanya.

 

Menurutnya, kesemua tonto yang ditahan kini dalam siasatan pihak polis dan tiga yang positif dadah diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut.

 

 

 

Harian Metro