Insentif EV negara - ada kepincangannya dan ia merugikan!

oleh HEZERI SAMSURI|
Perutusan Bajet 2022 membawa berita gembira kepada industri automotif negara bila insentif untuk kenderaan elektrik (EV) turut disertakan.

Menurut beberapa pemerhati industri yang dihubungi Careta, galakan cukai yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tahun lalu memang disambut baik tetapi perlu diubah untuk menjadikannya ia satu set insentif yang lebih berdaya saing.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Saya sendiri terpaksa menyokong kenyataan pemerhati-pemerhati tersebut kerana jika tidak diubah, ia akan merugikan wang dan pendapatan negara. 

Kita tidak mahu insentif yang merugikan negara, seperti eksais duti motosikal CKD bawah 150cc yang dikecualikan tahun lalu tetapi faedahnya diambil oleh pengedar-pengedar motosikal, bukan pembeli.

Keputusan berdasarkan kepentingan politik dan juga tindak balas spontan (knee jerk reaction) tidak sepatutnya berlaku demi kemajuan negara. Ia perlu diberikan perhatian khusus, dan kementerian-kementerian terbabit juga perlu faham dan akur tentang kehendak industri.

Menurut insentif EV yang diumumkan, EV yang dijual di Malaysia akan dikecualikan dari duti import, duti eksais dan juga cukai jualan.

Ini ditambah dengan pengecualian cukai jalan (yang masih belum diiktiraf oleh JPJ sehingga artikel ini ditulis), pengecualian cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk pembelian, pemasangan, penyewaan, sewa beli dan pembayaran servis caj EV.

Ia memang menarik sehingga kita lihat tempoh insentif yang diberikan itu adalah hanya sehingga 31 Disember 2023 untuk EV CBU dan 31 Disember 2025 untuk EV CKD.

Ini bermakna insentif ini, buat masa sekarang, hanya bertahan untuk dua dan empat tahun.

Untuk yang kurang arif, kesemua keputusan yang akan membabitkan pendapatan negara (cukai) perlu menerima kebenaran dari Kementerian Kewangan (MOF).

 

 

Tidak pasti apa yang berlaku, tetapi MOF nampakanya enggan menerima kelaziman yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat global termasuk dari dunia automotif - iaitu membuat perancangan sekurang-kurangnya lima ke 10 tahun akan datang.

Untuk membuat perancangan CKD bagi kenderaan secanggih EV, syarikat kenderaan memerlukan sesuatu yang lebih kukuh dari polisi yang singkat seperti yang dipersetujui oleh MOF.

Saya faham kerunsingan yang dilalui oleh MOF di mana status kewangan negara di dalam keadaan meruncing tetapi perbuatan melepaskan batuk di tangga seperti insentif EV ini menyukarkan ia mencapai objektif sebenarnya.

Perbualan saya dengan beberapa orang penting dari syarikat-syarikat automotif di rantau ini membuktikan bahawa mereka mahukan polisi yang merangkumi jangka masa yang lebih panjang.

"Malaysia bukan lagi negara yang paling penting di Asean. Thailand sudah lama ke hadapan kerana polisi-polisi jangkamasa panjang di sana. Indonesia juga belajar dari Thailand untuk menawarkan pakej-pakej menarik bagi para pelabur.

Jika Malaysia masih enggan menurut, kita memang bakal mencapai status Orang Sakit Asean dengan cepat dan mudah," kata seorang penganalisa ekonomi tempatan yang dihubungi saya.

Bagi saya, insentif cukai memang membantu dan polisi jangka masa panjang memang diperlukan.

Sebuah syarikat kenderaan perlu melabur ratusan juta ringgit jika mereka mahu melakukan operasi pemasangan tempatan bagi kenderaan secanggih EV.

Malah untuk kenderaan hybrid dengan bateri yang kecil pun, hanya Honda dan Toyota sahaja yang mula melakukan operasi CKD di Malaysia untuk kenderaan genre itu. Yang lain masih lagi mengamalkan operasi SKD (pemasangan tempatan dengan komponen/buruh tempatan yang terlalu minimal) - tidak wujud secara rasmi di sini tetapi diketahui ramai memang masih berlaku.

Satu lagi kekurangan yang saya lihat sekarang ialah minat kerajaan berkaitan "EV" sudah menjadi sejuk kokol.

Kurang promosi dari pihak kerajaan ini membuktikan lagi tindakan insentif itu hanyalah untuk menutup mulut-mulut yang bising, dan harganya ialah kerugian pendapatan negara kerana usaha yang tidak ada "follow-through" yang baik.

Saya harap kerajaan Malaysia mempunyai pelan tindakan yang lebih khusus dan lebih serius untuk memastikan objektif EV negara tercapai.

Perlu ada komiti yang menggabungkan kementerian-kementerian terbabit agar projek EV ini mampu dicapai dan bukan hanya momokan ahli politik sahaja.

Atau mungkin negara kita ini masih dipimpin oleh mereka yang hanya fasih menggunakan telefon bimbit Nokia tiga-tiga-sekupang sahaja?

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Brian Gu, Presiden dan Naib Pengerusi untuk Xpeng Motors, teknologi pemanduan pintar (smart…
Berita Global
Dibina di atas platform E-GMP, ia juga lebih kecil berbanding dengan EV6 yang sudah dijual di…
Berita Global
Perjanjian itu datang selepas setengah tahun penstrukturan semula bernilai $4.2 bilion yang telah…