Insentif duti eksais untuk semua motosikal 150cc ke bawah - apa yang anda perlu faham dahulu!

oleh HEZERI SAMSURI|
Semalam kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai baharu di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau Pemerkasa.

Satu nama yang gah dengan objektif yang baik.

Perdana Menteri semalam berkata akan ada pengecualian duti eksais sehingga 100 peratus yang dikhususkan untuk motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150 cc dan ke bawah. 

Pengecualian duti eksais itu akan bermula pada 1 April sehingga 31 Disember 2021.

Pada mulanya ada yang beranggapan ini hanyalah untuk mereka yang memohon program di bawah Tekun Mobilepreuner tetapi berita dari sumber Careta pagi tadi memberitahu ia akan ditawarkan kepada semua pengguna.

Jangan salah sangka, saya sentiasa menyokong mana-mana usaha untuk memacukan ekonomi negara dan demi kesejahteraan rakyat jelata tetapi insentif untuk motosikal di bawah 150cc ini terus terang saya katakan, adalah sedikit kelakar.

Niat untuk menjadikan motosikal "entry-level" ini lebih murah sangat saya galakan. 

Namun begitu, saya terpanggil untuk memberikan komen jujur saya kerana tindakan ini seolah-olah "half baked" atau setengah jalan. Di bawah ialah antara butiran yang saya mahu ketengahkan:

 

 

Yamaha Y-Suku Setengah, NVX tak termasuk

  • Insentif pengecualian duti eksais ini hanya untuk model-model dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke bawah.
  • Ini bermakna model-model popular Yamaha seperti Y16 dan skuter NVX tidak termasuk dalam senarai.
  • Skuter baharu Honda, ADV150 pula ada dalam senarai kerana sesaran enjin skuter itu ialah 149.3 cc. Jadi kepada mereka yang masih tak terima ADV 150 mereka, bersyukurlah kerana harga baharu nanti lebih rendah.

Penurunan harga motosikal bukan semudah dicongak dalam kepala.

  • Duti eksais untuk motosikal dengan kapasiti enjin di bawah 150cc ialah sebanyak 20 peratus. Ini tidak bermakna 20 peratus pengurangan dari harga jualan kerana duti eksais dikira dari harga kenderaan bila keluar dari kilang (ex-factory) - tanpa cukai jalan, kos pendaftaran dan lain-lain.
  • Lebih mudah untuk saya katakan, pengurangan harga bukannya semudah menolak 20 peratus dari harga di kedai. 
  • Ini bermakna kita boleh tunggu pengumuman harga terbaharu kelak dari setiap pengeluar motosikal dan kita berharapan agar penjimatan yang dihadiahkan oleh kerajaan itu sampai kepada pembeli-pembeli.

 


Industri motosikal mengamalkan pasaran terbuka. Adakah pengedar akan berikan harga sebenar? 

  • Ini bermakna, harga jualan di "sales floor" (kedai motosikal) tidak akan sama seperti harga yang dicadangkan oleh pengeluar motosikal sendiri.
  • Contoh terbaik ialah Honda ADV 150. Harga jualan yang dicadangkan oleh Boon Siew Honda semasa pelancarannya ialah RM11,999 - tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran. 
  • Selepas masuk kesemua itu, harganya lebih kurang RM12,600.  
  • Sekarang ini, kerana sambutan yang hebat, kebanyakan pengedar menaikkan harga skuter ADV itu sehingga RM13k hingga RM14k. 
  • Ada peningkatan yang masih boleh diterima akal, tetapi selagi ada yang membeli, selagi itu akan ada yang menjual. 
  • Persoalan saya ialah, walaupun kerajaan memberikan insentif sifar eksais duti kepada motosikal CKD 150cc ke bawah, adakah insentif itu bakal diterima oleh pengguna-pengguna?
  • Adakah pengguna menerima 100 peratus insentif itu? Atau 50 peratus? Atau 10 peratus?

Apa kedai motosikal nak buat sementara menunggu tarikh 1 April? 

  • Tidak akan ada orang yang mahu membeli motosikal sekarang kerana mahu menunggu tarikh keramat 1 April bila duti eksais dilenyapkan sehingga 31 Disember.
  • Ini bermakna jualan untuk bulan Mac akan merosot dan kilang pula terpaksa menanggung kos simpanan stok-stok motosikal.

 

 

Menyukarkan kepercayaan pelabur asing

  • Sekali lagi Malaysia dilihat sebagai satu negara yang tidak mempunyai pengurusan yang matang dan boleh membuat keputusan flip-flop.
  • Untuk pelabur asing masuk datang dan melabur, mereka perlukan perancangan untuk lima ke 10 tahun datang.
  • Pengumuman itu sekali membuktikan Malaysia tidak ada perancangan yang kukuh dan kepentingan pelabur tidak begitu dipentingkan.


Kenapa kereta mewah ada insentif, motosikal besar tidak ada? 

  • Industri kereta diberikan insentif eksais duti kerana mahu membantu ekonomi negara. 
  • Namun begitu, motosikal tidak diberikan sehingga sekarang, dan ini pun hanya untuk model 150cc ke bawah yang dipasang secara tempatan.
  • Penjualan motosikal negara untuk tahun 2020 hampir mencecah 600,000 unit, satu jumlah yang besar walaupun dengan cabaran pandamik Covid-19. 
  • Sekiranya insentif turut diberikan, pastinya industri roda dua ini akan lebih berdaya saing.
  • Paling penting, keadilan boleh dilangsungkan dengan memberikan insentif yang sama kepada industri motosikal agar sehaluan dengan kereta.

Apa pun, saya nantikan pengumuman lanjut dari pihak berkaitan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini bermakna, motosikal yang didaftarkan sebelum 1 Julai 2003 boleh terus digunakan di jalan raya…
Berita Domestik
Di bawah ialah apa yang Careta faham berdasarkan laporan Bernama mengenai isu tersebut. Insentif…
Berita Domestik
Pengecualian penuh diberikan kepada kenderaan baharu CKD sementara pengecualian 50 peratus untuk…