Insentif cukai kerajaan - makin ramai pihak minta ketelusan

oleh HEZERI SAMSURI|
Insentif cukai adalah satu isu yang menarik pelabur asing kerana semua syarikat mencari tempat yang mampu memberikan mereka lebih keuntungan.

Malaysia adalah antara negara terawal di rantau ini yang mempunyai dasar pemberian insentif untuk pelabur automotif. Malah banyak dasar-dasar itu dijadikan contoh oleh negara-negara jiran.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pemberian insentif untuk pelaburan dalam negara juga penting kerana selain dari penyumbangan dalam bentuk cukai jualan, ia memberikan peluang pekerjaan kepada tenaga mahir tempatan dan membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk menjadi pembekal kepada syarikat-syarikat bertaraf global.

Namun begitu, dasar-dasar ini sudah lama digunakan dan ramai pihak dari industri yang beranggapan ia sukar untuk dijangka. 

Menurut tinjauan Careta, keluhan dari pemain industri ini ada benarnya. 

 

 

"Kami perlu membuat pembentangan pelan cadangan kepada ibupejabat kami. Siapa yang tak mahu syarikat melabur di Malaysia kerana kami juga akan dapat habuannya. Tetapi sukar untuk membuat perancangan sekiranya insentif yang diberikan berbeza-beza," ujar salah seorang pengurus perancangan dan perkembangan pernigaaan dari sebuah syarikat automotif global.

"Memang kami sering berbincang dengan pihak atasan, dan kami pun faham batasan yang ada. Agensi yang bertanggung-jawab juga membantu, cuma ada kejadian-kejadian yang membuatkan pihak atasan dari syarikat kami bertanya dan kami tiada jawapannya," sambung beliau.

Contoh yang diberikan ialah pemberian insentif cukai CKD. 

"Kami berterima-kasih kerana diberikan insentif cukai bila kami melabur dalam pemasangan tempatan. Cuma yang kami tak faham, kenapa jumlah insentif ini berbeza sedangkan syarikat kami juga banyak membuat pelaburan.

Program "Bridging Incentives" untuk CKD contohnya, kenapa ada syarikat yang dapat puluhan ribu unit CBU dengan cukai rendah walhal ada syarikat lain yang melabur di dalam negara dengan jumlah yang sangat tinggi juga."

 

 

Beliau bagaimanapun yakin ada sebabnya dan beliau berharap ia boleh diberikan secara jelas kepada semua pemain industri.

"Semua ini sebenarnya terletak di bahu menteri. Jika menteri berkata ia perlu diterangkan secara jelas, maka ia perlu dijelaskan. Ia akan membantu pihak syarikat untuk membuat perancangan pelaburan masa hadapan," ujar seorang pemerhati industri yang ditemuramah oleh Careta.

"Di Thailand pun ada insentif yang berbeza dari syarikat ke syarikat lain tetapi jumlah yang diterima adalah hampir sama. Kita ada ramai eksekutif-eksekutif dan jurutera-jurutera automotif yang bekerja di Thailand. Mungkin pihak Menteri boleh berkongsi idea dengan mereka kerana mereka lebih arif dengan apa yang dilakukan di sana kerana memang jelas, walaupun Malaysia yang memulakan industri automotif di rantau Asean, Thailand sudah mendahului kita dengan terang-terang."

"Memang kita boleh belajar dari Thailand. Perit bunyinya tetapi mereka sudah berjaya. Mungkin sudah tiba masanya kita buang sifat ego kita dan turun belajar dari mereka yang sudah terbukti berjaya," ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

Berita Berkenaan

Berita Global
Syarikat-syarikat yang memenuhi syarat tersebut akan layak untuk mengimport EV yang berharga US$35,…
Berita Domestik
Beliau berpandangan bahawa rasionalisasi subsidi bahan api dan kenaikan cukai perkhidmatan…
Berita Domestik
Beliau turut menafikan dakwaan beberapa cukai baharu akan diperkenal tahun ini, yang juga tular…