Kerjasama dengan IPT
Sejak September 2022, Perodua telah bekerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur, dan Universiti Putra Malaysia.
Kerjasama ini untuk membangunkan prototaip EV pertama yang dikenali sebagai Myvi Conversion.
Kerjasama ini juga bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan dan membuka peluang untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang EV.
Ini menandakan permulaan Perodua dalam bidang EV, dengan hasrat untuk menjadikan permulaan ini dekat dengan hati rakyat Malaysia.
Perodua QV-e?
Seperti pengeluar lain, EV menggunakan akronim baharu. Pada 2024 Perodua membuat permohonan tiga tanda dagangan dari MyIPO iaitu QVe, Pacer dan Ace.
Terbaru Perodua sekali lagi membuat permohonan dari MyIPO, kali ini untuk QV-E dan menariknya lengkap dengan logo berwarna perak dan biru.
Sama seperti Myvi, Axia dan Bezza, QV-e semestinya mempunyai maksud tersendiri.
Prototaip dan Pembangunan
Perodua eMO-1
- Pada 21 Mei, Perodua mempamerkan prototaip EV pertamanya, Myvi Conversion atau eMO-1, di Malaysia Auto Show 2024.
- Prototaip ini mempunyai tiga komponen utama; bangku pengujian kuasa (power bench), rangkaian penggerak kuasa (power converter) dan rekaan keseluruhan rangka yang dibuat di Malaysia.
- Pembangunan teknologi penukaran kuasa pula dilakukan dengan syarikat yang berpangkalan di Australia.
- Proses pembangunan bangku pengujian kuasa dibuat oleh Perodua dengan kerjasama tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia, bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan.
Perodua eMO-II
- Pada 4 Disember, Perodua memperkenalkan evolusi prototaip kenderaan bateri elektrik yang dikenali sebagai eMO-II di Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024).
- eMO-II merupakan kesinambungan perjalanan pembuatan EV Perodua dengan teknologi yang dicipta sendiri dari awal, dan telah ditambahbaik daripada model prototaip terdahulu dari segi penggayaan dan ciri-ciri.
- Reka bentuk kereta ini menggabungkan ciri estetik abad ke-21 dengan keunikan Malaysia, berdasarkan elemen songket yang digabungkan dengan lampu LED.
- Prototaip ini memberikan pandangan awal kepada Perodua EV yang akan datang.
- Projek EV ini dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Perodua pada tahun 2023.
- Walaupun tempoh pembelajarannya singkat, Perodua telah berjaya menguasai pembuatan EV hasil kerjasama dengan beberapa perunding yang dilantik.
Prototaip terakhir - Perodua Asprisations
- Pada 8 Mei 2025, Perodua mempamerkan prototaip kenderaan elektrik dalam bentuk "half-cut" di Malaysian Autoshow 2025 (MAS 2025), menunjukkan keupayaan reka bentuk dan pengeluarannya.
- Paparan yang dikemas kini ini adalah episod terakhir dalam perjalanan EV Perodua dengan gambaran lebih jelas.
- Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, mengesahkan bahawa model prototaip ini akan mempunyai lebih banyak ciri dan penambahbaikan yang akan disertakan pada produk akhir yang akan diperkenalkan kelak.
Bateri dan Jarak Pandu:
- Perodua dijangka akan menggunakan bateri jenis CATL LFP (Lithium Iron Phosphate) untuk EV produksi mereka.
- Sasaran jarak pandu untuk EV Perodua versi produksi adalah sekitar 400 - 410 km.
- Konsep awal Perodua eMO-1 EV (berdasarkan Myvi) menunjukkan kapasiti bateri 55.7 kWj dengan jarak pandu 350 km.
- Untuk konsep awal Perodua EMO EV (Myvi), ia berpotensi untuk pengecasan pantas DC sehingga 300 kW, membolehkan bateri dicas sehingga 80% dalam masa 20 minit.
Model Pemilikan Bateri (Battery Leasing/BaaS)
- Perodua sedang mempertimbangkan model penyewaan bateri ("battery leasing" atau "Battery-as-a-Service - BaaS").
- Ini bertujuan untuk mengurangkan harga jualan awal kenderaan (iaitu sekitar RM80 ribu tanpa bateri) dan menangani kebimbangan mengenai nilai jualan semula (resale value) serta degradasi bateri.
- Melalui BaaS, bateri akan dimiliki oleh Perodua dengan jaminan penuh serta penggantian jika bateri mengalami masalah atau kapasiti menurun di bawah ambang tertentu.
Harga dan Pelancaran - EV tempatan untuk orang ramai?
- Jangkaan harga daripada RM50 ribu sehingga RM90 ribu.
- Dirancang untuk dilancarkan pada suku keempat 2025.
- Hanya 500 unit dihasilkan sebulan dan jangkakan tempoh menunggu yang lama sekiranya EV ini menerima sambutan hangat.
Kerjasama dan Ekosistem
Kerjasama dengan UTM
- Perodua telah menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi korporat tempatan untuk memastikan pelanggannya mendapat akses mobiliti yang lebih baik, termasuk semua aspek pemilikan EV, pengalaman yang efisien, mesra pengguna, dan disokong oleh prasarana sokongan.
- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perodua telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan generasi baharu kenderaan elektrik (xEV) di Malaysia.
- Memorandum ini merangkumi pakej komprehensif yang meliputi aspek pendidikan dan latihan kepada bakal jurutera baharu dalam membangunkan teknologi berkaitan xEV.
- Kerjasama ini menunjukkan kepentingan merapatkan jurang antara akademia dan industri dalam memperkasakan graduan dengan kemahiran serta pengetahuan yang relevan.
- Perjanjian ini menekankan enam elemen utama, termasuk memperkukuh kurikulum akademik UTM bagi kursus kejuruteraan dan bidang berkaitan, serta penubuhan makmal satelit di kampus utama UTM di Skudai, Johor.
MoU dengan PETRONAS dan Gentari
- Perodua Sales Sdn Bhd juga telah menandatangani dua MoU dengan PETRONAS Dagangan Berhad dan anak syarikat Gentari Sdn Bhd untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melalui integrasi pelbagai perkhidmatan.
- MoU pertama melibatkan Perodua Sales dan PETRONAS Lubricants Marketing Sdn Bhd (PLMMSB), Mesra Retail & Cafe Sdn Bhd (MESRA), dan Setel Ventures Sdn Bhd (Setel).
- Perodua akan menyediakan akses perkhidmatan baharu di pusat servisnya, termasuk integrasi ciri pembayaran digital Setel ke dalam aplikasi UFirst Perodua, penubuhan MESRA, serta pembukaan pusat servis Perodua di stesen PETRONAS terpilih.
- MoU kedua dengan Gentari melalui Gentari Green Mobility Sdn Bhd akan menyaksikan pemasangan kemudahan pengecasan di pusat servis Perodua sebagai persediaan kepada pengenalan kenderaan elektrik dan memudahkan pelanggan dalam proses peralihan kepada EV.
- Gentari akan memasang kemudahan pengecasan EV di pusat servis Perodua, terutamanya di stesen-stesen PETRONAS, menawarkan langganan pengecasan EV, penyelesaian pengecasan di rumah, dan integrasi dengan platform Gentari Go.
- Gentari kini mengendalikan rangkaian pengecasan arus terus (DC) berlesen terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 175 titik pengecasan DC.
Inisiatif Teknologi Hijau
- Perodua turut memperkenalkan Emerald Horizon, sebuah syarikat berpangkalan di Austria, untuk membangunkan sumber tenaga alternatif dengan penggunaan torium (unsur nadir bumi).
- Pembangunan ini diharapkan dapat menyediakan kaedah alternatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada elektrik yang dijana oleh bahan api fosil dan membantu mengurangkan jejak karbon Perodua.
- Perodua juga menggunakan tenaga suria untuk sebahagian daripada kilang serta gas asli dalam usahanya untuk mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
Sumber: Perodua, PaulTan, Funtasticko