
Satu sejarah menarik ialah Kia adalah syarikat pertama di Korea yang mengeluarkan basikal dengan nama Sumchully pada 1951.
Kia juga syarikat pertama yang mengeluarkan pelbagai jenis pengangkutan seperti basikal roda tiga dan pikap.
Pikap tiga roda T-600 menjadi batu loncatan untuk Kia berkembang sebagai pengeluar kereta.
T-600 dikeluarkan pada 1969 melalui kerjasama teknikal dengan Mazda. Versi Jepun dikenali sebagai K360 yang menggantikan Mazda-Go sejak tahun 1931.

Dari gambar boleh dilihat badan T-600 yang kecil dan ringan. Pikap itu diguna untuk menghantar briket (bahan penyala) dan beras di lorong kecil dan perkampungan di gunung.
Brisa pula sebuah kereta penumpang yang diperkenal pada 1974.
Kereta itu diasaskan dari platform Mazda dan menggunakan perkakasan tempatan dan mencapai tahap 90 peratus pada 1976.
Mazda Familia generasi kedua diguna untuk projek itu dan sebelum Brisa, Kia terlebih dahulu mengeluarkan pikap Brisa B-1000.

Brisa menjadi popular susulan penggunaan minyak yang ekonomikal akibat dari krisis minyak pada waktu itu.
Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai sejarah panjang, Kia akan mempamerkan T-600 dan Brisa yang dibaik pulih di acara Kia360 di Apgujeong, Seoul.
Turut dipamerkan model elektrik baharu EV9 sebagai lambang warisan dan pencapaian Kia.
Kedua-dua model klasik itu asalnya disimpan di pusat penyelidikan dan Kia merujuk kepada gambar dan katalog lama untuk kerja baik pulih.

Jika dibuat perbandingan boleh dilihat persamaan di antara Mazda K360 dan Kia T-600.
Brisa yang hadir kemudian pula sedikit berbeza dan seperti dinyatakan mempunyai kandungan tempatan yang tinggi dan boleh dilihat di mana fokus Kia.
Tidak hanya pasaran domestik, kedua-dua pikap dan sedan Brisa dieksport ke luar negara. Basikal Samchuly juga menjadi produk eksport Korea.
Penulis: Muhammad Md Tajudin