Ini skuter Hyundai, RWD dan mampu bergerak 20 km!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Terma yang menjadi trend di dalam pengangkutan hari ini ialah first and last mile. Terma tersebut merujuk kepada pengangkutan terakhir menuju ke destinasi anda. Misalnya anda turun daripada stesen LRT dan rumah anda di Careta Heights (sekadar cadangan). Daripada stesen LRT tersebut hingga CH atau sebaliknya dipanggil first and last mile.

Ulang alik daripada kedua-dua destinasi itu memerlukan pengangkutan tambahan dan di sinilah timbul peluang bisnes seperti khidmat perkongsian kereta dan motosikal atau mod yang dijangka popular iaitu skuter.

Kenderaan jenis ini telah pun menarik beberapa nama besar dan terbaru Hyundai Motor Group (HMG) mengumumkan skuter elektrik mereka. Skuter ini dikuasakan oleh bateri lithium yang memacu roda belakang. Tidak dilupakan lampu depan dan belakang yang bergaya.

HMG sebenarnya tampil dengan konsep ini pada CES 2017 dan prototaip terbaru telah pun siap. HMG merancang untuk menggunakan skuter ini sebagai kaedah pengangkutan pertama dan terakhir bersama-sama kenderaan Hyundai dan Kia pada masa depan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Skuter HMG

 

Disebabkan pengeluar skuter ini adalah HMG, ianya boleh dicas di dalam kereta semasa memandu supaya dapat digunakan tanpa masalah.

Pada asalnya skuter ini dipacu oleh roda depan dan ditukar ke belakang bagi menambah baik aspek keselamatan dan kestabilan memandangkan berat tertumpu kepada bahagian belakang. Jurutera skuter ini turut menambah suspensi pada roda depan untuk pemanduan lebih lancar terutama sekali pada permukaan tidak rata.

Skuter elektrik ini menggunakan bateri lithium berkuasa 10.5 Ah. Ianya boleh dipandu dengan kelajuan maksimum 20 km/j manakala cas penuh boleh bertahan sehingga 20 kilometer. Berat ialah sekitar 7.7 kilogram dan boleh disimpan dengan tiga lipatan.

Ianya juga mesra pengguna dengan paparan digital untuk bacaan status bateri dan kelajuan. Supaya selamat dipandu pada waktu malam terdapat dua lampu LED depan dan dua lampu belakang.

Pada masa akan datang, HMG merancang untuk menggunakan teknologi brek regenaratif yang dapat meningkatkan lagi jarak pemanduan sehingga tujuh peratus.

Tetapi kenapa HMG mahu menghasilkan skuter ini? Menurut satu kajian oleh firma perundingan antarabangsa McKinsey & Company, pasaran pengangkutan mobiliti jarak terakhir di Amerika Syarikat, Eropah dan China akan berkembang kepada USD$500 bilion (RM2.1 trilion) menjelang tahun 2030.

Memang wajar HMG memasuki bidang ini dan penulis merasakan pengeluar lain akan turut serta dengan skuter masing-masing. Kenapa tidak? Jenama kereta A mestilah gunakan skuter A, janggal pula pemandu kereta jenama B guna skuter jenama A. 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Bahagian depan lebih berketak dengan jeriji dan lampu nyalaan siang baharu. Gaya jeriji condong…
Berita Domestik
Menurutnya, serbuan dibuat bersama wakil pemilik cap dagang berdasarkan aduan yang diterima. "…
Berita Global
Pelbagai teknologi dan ciri-ciri yang ditawarkan sehingga ia membuatkan suatu kenderaan itu…