Ini sejarah Lamborghini Diablo, 325 km/j pada tahun 1990!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini Diablo
Lamborghini Diablo
Kenderaan buatan Lamborghini tidak perlu diperkenalkan lagi dan satu dari model yang begitu ikonik dan menarik perhatian ialah Diablo.

Walaupun sudah berusia, Diablo masih kelihatan moden dan gah di jalan raya.

Tahukah anda berapa usia Diablo? Tiga dekad dan Automobili Lamborghini menyambut ulang tahun istimewa tersebut selepas berada di pasaran pada Januari 1990.

Permulaan kepada Diablo ialah pada tahun 1985 dengan kod nama Project 132 dan dibangunkan sebagai pengganti Countach yang merupakan model tertinggi dari Lamborghini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lamborghini Diablo

 

Rekaan dengan garisan kemas dan agresif Diablo adalah hasil dari Marcello Gandini yang disemak semula sebahagiannya oleh pusat reka bentuk Chrysler.

Pada ketika itu Chrysler merupakan pemegang saham terbesar di dalam Automobili Lamborghini.

Diablo berjaya memikat hati peminat sejak awal lagi dan merupakan kereta produksi paling pantas di dunia ketika dilancarkan.

Berapakah kelajuan Diablo? Bayangkan pada tahun 1990, kereta super ini telah pun mencecah kelajuan 325 km/j.

Satu lagi perkara menarik apabila karakter dinamika Diablo adalah hasil kerja pembangunan yang melibatkan juara rali Sandro Munari.

 

Lamborghini Diablo

 

Dari segi mekanikal, Diablo dilengkapi enjin 5.7 liter 12 silinder dengan sistem pancitan elektronik pelbagai titik (multi-point) dan hamburan kuasa 485 hp dan tork 580 Nm. 

Diablo bukan semata-mata kereta berprestasi tinggi, ia dilengkapi pelbagai kemasan dan kelengkapan mewah seperti balutan kulit, penyaman udara, tingkap berkuasa dan kerusi larasan elektrik.

Walaupun begitu, Diablo kekal sejati dengan pacuan roda belakang dan tanpa bantuan pemanduan elektronik termasuk tiada stereng berkuasa sehingga tahun 1993.

Pada tahun itu Diablo VT diperkenalkan yang merupakan Granturismo Lamborghini pertama dilengkapi pacuan empat roda dan beberapa peningkatan mekanikal dan rekaan yang kemudian diadaptasi pada model pacuan dua roda.

Juga pada tahun sama, Diablo SE30 dengan kuasa 523 hp diperkenalkan bagi meraikan ulang tahun ke-30 sejak syarikat ditubuhkan. 

 

Lamborghini Diablo

 

Pada Pameran Kenderaan Geneva 1995, Automobili Lamborghini memperkenalkan Diablo SV yang ditawarkan dalam versi tunggal pacuan dua roda dengan kuasa maksimum 510 hp dan sayap belakang boleh laras.

Pada penghujung tahun sama, Diablo VT Roadster memasuki pasaran yang merupakan model 12 silinder pertama Lamborghini dengan bumbung terbuka dan dikeluarkan secara massa.

Model ini turut mempunyai perbezaan pada garis badan dan hanya ditawarkan dalam versi pacuan empat roda sahaja.

Tempoh seterusnya ialah era pemilikan Automobili Lamborghini oleh Kumpulan Audi.

Pada tahun 1999, Diablo SV dengan gayaan semula oleh Luc Donckerwolke yang juga pereka in-house pertama Lamborghini diperkenalkan.

 

Lamborghini Diablo

 

Varian terbaru ini adalah susulan VT dan VT Roadster dan ketiga-tiganya tampil dengan pembaharuan atau modenisasi melalui garisan badan dan bahagian dalaman.

Selain itu, kuasa enjin Diablo ditingkatkan kepada 529 hp dengan tork 605 Nm dan dilengkapi sistem angkatan injap boleh ubah (variable valve lift) dan buat pertama kali untuk sebuah Lamborghini menggunakan teknologi ABS pada brek.

Selain versi jalanan, Diablo turut mempunyai model perlumbaan dengan enjin 6.0 liter.

Secara keseluruhannya 2903 unit Diablo dikeluarkan dan merupakan model Lamborghini paling banyak sehingga tahun 2001 apabila digantikan dengan sebuah lagi model ikonik iaitu Murciélago.

 

Lamborghini Diablo

 

Berikut ialah jumlah kumulatif pengeluaran Lamborghini Diablo:

  • Diablo: 1990-1998, 873
  • Diablo VT: 1993-1998, 529
  • Diablo SE:1993-1994, 157
  • Diablo SV: 1995-1999, 346
  • Diablo VT Roadster: 1995-1998, 468
  • Diablo SVR: 1996, 34
  • Diablo GTR: 1999-2000, 32
  • Diablo 6.0: 2000-2001, 337
  • Diablo 6.0 SE: 2001, 44
  • Diablo GT: 1999-2000, 83

Lagi bacaan: Lamborghini Countach - Seni reka bentuk mendahului zaman

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini Diablo

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Bagi mereka yang mahukan sebuah Lamborghini pada harga kos yang jauh lebih murah, replika merupakan…