Baja 1000 yang diadakan di Baja California Peninsula, Mexico adalah satu daripada perlumbaan off-road paling berprestij dengan peserta dari serata dunia.
Di dalam perlumbaan itu, peserta perlu mengharungi pelbagai keadaan muka bumi seperti pendakian mencabar dan penurunan curam.
Ford bukan asing di dalam Baja apabila F-150 dan Bronco menamatkan perlumbaan dengan jaya.
F-150 Raptor 2017 dalam keadaan standard berjaya menduduki podium dan kemudian dipandu ke pangkalan pada jarak lebih 640 kilometer (km).
Ada banyak kategori perlumbaan dan Ranger Raptor didaftarkan di dalam kelas stock yang bermakna majoriti bentuk dan komponen kenderaan mesti dalam keadaan standard.
Dari gambar boleh dilihat Ranger Raptor untuk Baja dipasang snorkel, roda Method dengan tayar BF Goodrich AT, bar depan, lampu LED ARB dan pelindung bawah (sump guard).
Badan pikap nampak lebih tinggi dengan penggunaan kit suspensi tiga inci. Bahagian dalam pula dilengkapi rangka keselamatan.
Penyertaan di dalam kategori stock juga bagus bagi menunjukkan keupayaan Ranger Raptor tanpa ubah suai ekstrem ditambah pula dengan penggunaan bio bahanapi rendah karbon.
Bahan api dari Shell itu mempunyai lebih daripada 30 peratus komponen bio yang disumberkan secara lestari.
Kepada yang tidak senang duduk, Ranger Raptor pasaran tempatan digerakkan enjin EcoBoost 3.0 liter V6 yang menghasilkan 397 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 583Nm.
Enjin itu dipadan bersama transmisi automatik sepuluh kelajuan sama seperti model terdahulu dan ditala semula untuk enjin V6.
Pikap yang diimport dari Thailand itu dijual pada harga bermula RM259,888.
Penulis: Muhammad Md Tajudin