
Pakej elektrik EV6 GT terdiri daripada bateri Nickel-Cobalt-Manganese (NMC) 77.4 kWj yang menguasakan motor depan 160 kW dan motor belakang 270 kW.
Selain kuasa, karakter pengendalian EV6 GT juga berbeza dengan penggunaan suspensi sport yang mempunyai kawalan redaman elektronik dan komponen khas pada suspensi depan.
75 peratus struktur badan EV6 GT diperbuat daripada keluli kekuatan tinggi dan ultra tinggi.
EV6 GT menggunakan gandar pacuan bersepadu (IDA) keluaran massa pertama di dunia bagi mempertingkat ketahanan dan pengendalian.
Galas roda (wheel bearing) disatukan dengan aci pacu untuk mengurangkan berat.

Cengkaman dan kestabilan dipertingkat melalui Pembeza Gelincir Terhad elektronik (e-LSD) dan daya kilas dihantar pada roda dengan cengkaman paling tinggi semasa di selekoh.
Cakera depan lebih besar dengan ukuran 15 inci di depan dan 14.2 inci di belakang dan diapit oleh angkup monoblock dan menariknya berwarna neon.
Roda aloi besar saiz 21 inci dibalut tayar Goodyear Eagle F1.
Satu lagi perbezaan ketara ialah mod pemanduan baharu iaitu GT Drive Mode, My Drive Mode dan Drift Mode dan tambahan kepada mod Eco, Normal, Sport dan Snow.

Dari segi fungsi, GT Drive Mode mengubah karakter motor elektrik, pembrekan, stereng, suspensi, e-LSD dan Kawalan Penstabilan Elektronik kepada tetapan paling dinamik.
Jika tidak mahu penetapan komputer, pemandu boleh membuat menu sendiri menggunakan My Drive Mode.
Mahu sesuatu yang berbeza? Drift Mode membolehkan pemandu menghantar lebih kuasa pada roda belakang.
Selain kuasa dan tetapan, Kia memuat naik dua bunyi tambahan dalam pilihan Active Sound Design.

Rekaan pula nampak sama tetapi ada sedikit perbezaan pada bahagian depan atau corak gril dan reka bentuk bampar belakang.
Pada bahagian dalam, pemandu dan penumpang depan diberikan kerusi bucket dengan logo GT dan riasan hijau.
Turut dilengkapi corak berjalur pada papan pemuka dan perehat lengan, pencahayaan ambien pada panel pintu, konsol tengah dan papan pemuka.
Kia EV6 GT bakal dijual pada suku keempat 2022 dan Kia America belum mendedahkan harga.
Sebagai perkongsian, EV6 GT-Line AWD pasaran tempatan dijual dari RM300,668.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
