Ini kisah di sebalik Toyota Prius 2023, Akio Toyoda ada idea lain pada peringkat awal

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Prius 2023
Toyota Prius 2023
Toyota telah memperkenalkan Prius generasi kelima pada 16 November 2022. Prius terbaru itu hadir dalam reka bentuk menarik dan meneruskan gayaan agresif yang boleh dilihat pada model-model terbaru Toyota.

Walaupun nampak agresif, Prius sebenarnya masih berpegang pada bentuk baji atau wedge seperti yang boleh dilihat pada model terdahulu.

Bentuk sebegitu mesra aerodinamik dan ibarat dikeluarkan terus dari terowong angin. Apabila kurang rintangan, kereta menjadi lebih cekap dan boleh dipandu lebih jauh.

Bentuk sebegitu juga dipegang oleh pengeluar lain dan pada satu ketika kereta hibrid atau elektrik nampak begitu janggal dek kerana mahu 'potong angin'.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Yuji Fujiwara, Ketua Pereka Projek, Simon Humphries, Pengurus Besar Kanan, Reka Bentuk, Satoki oya, Pengurus Besar Projek, Perancangan Produk, Toyota Compact Car Company
Yuji Fujiwara, Ketua Pereka Projek, Simon Humphries, Pengurus Besar Kanan, Reka Bentuk, Satoki oya, Pengurus Besar Projek, Perancangan Produk, Toyota Compact Car Company

 

Namun ada pengeluar yang berani melawan arus dan menghasilkan kereta elektrifikasi dalam bentuk konvensional seperti hatchback dan sebagainya.

Bayangkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam bentuk baji atau streamline?! Boleh buat tapi mengambil masa untuk diterima.

Pengenalan Prius baharu mengingatkan kembali kepada reka bentuk baji dan paling penting meletakkan semula Prius pada kedudukan asalnya.

Di dalam membangunkan Prius baharu terdapat satu perdebatan di antara kakitangan dan Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda tentang hala tuju kereta ini.

 

Toyota Prius 2023

 

Perdebatan itu diceritakan oleh Pengurus Besar Kanan, Reka Bentuk Global Toyota, Simon Humphries semasa pelancaran Prius baharu dan diringkaskan seperti di bawah.

Prius diperkenalkan pada tahun 1997 dan berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud perintis.

Sejak Prius generasi pertama, Toyota berjaya menjual 20.3 juta unit kenderaan hibrid di serata dunia dan mengurangkan pelepasan CO2 sekitar 162 juta tan.

Di Amerika Utara sahaja, lebih daripada 5.2 juta kenderaan hibrid Toyota berjaya dijual dengan pengurangan emisi sekitar 82 juta tan.

 

Toyota Prius 2023

 

Bagaimanapun, pencapaian utama Prius bukan terhad pada angka tersebut malah turut membuka pintu atau menjadi alternatif yang baik kepada enjin petrol dan diesel.

Kini pada tahun 2022, masa telah berubah dan misi ke arah karbon neutral menjadi perbualan.

Selain hibrid, kenderaan bateri elektrik (BEV) turut mencapai kemajuan pesat dan mengukuhkan kedudukannya untuk masa depan.

Di dalam satu majlis pada 2021, Toyoda pernah mengucapkan "sebuah kenderaan elektrik (EV) untuk semua orang" dan BEV menjadi bahagian penting di dalam portfolio Toyota.

 

Toyota Prius 2023

 

Toyota telah memperkenalkan siri penuh EV yang memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di peringkat global selain produk hibrid, hibrid plug-in dan teknologi sel bahan bakar.

Di sebalik itu, Toyoda juga memaklumkan BEV tidak semestinya pilihan baik untuk semua.

"BEV merupakan penyelesaian penting, namun tidak semestinya pilihan terbaik untuk semua orang.

"Di dalam dunia yang pelbagai, kita memerlukan variasi pilihan." katanya.

Walaupun dengan penjelasan tersebut, Toyota masih berdepan dengan pertanyaan sampai bila mereka mahu mengeluarkan kenderaan hibrid?

 

Toyota Prius 2023

 

Toyoda tetap tidak berganjak.

"Prius adalah sebuah model yang perlu dikekalkan." tegas beliau.

Alasan jelas di sebalik itu ialah Prius merupakan sebuah kereta mesra alam yang boleh dimiliki semua orang.

Untuk mencapai neutral karbon, semua orang di dunia perlu mengambil bahagian. 

Toyota percaya kereta mesra alam hanya boleh menyumbang kepada alam sekitar jika ianya dipopularkan dan dari situ, Prius adalah kereta untuk majoriti pengguna.

Toyota Prius 2023

Prius boleh dipandu oleh ramai orang dan bukan segelintir sahaja dan merupakan kekuatan paling utama dan sebab kewujudannya dan mengapa jenama Prius perlu dikekalkan.

Di sini timbulnya satu perdebatan.

Kesemua yang terlibat di dalam fasa pembangunan bersetuju dengan matlamat tersebut namun kaedah untuk mencapainya menjadi perdebatan hangat.

Adakah Prius baharu perlu difokuskan untuk menjadi komoditi (barangan ramai) atau sesuatu yang disukai (to love)?

 

Toyota Prius 2023

 

Cadangan Akio Toyoda ialah Prius patut berevolusi menjadi komoditi dan kenapa tidak jadikan Prius baharu sebagai teksi?

Dengan meningkatkan jumlah Prius dalam kegunaan berat dan perbatuan yang panjang, sumbangan kepada alam sekitar turut meningkat selari dengan jumlah yang tinggi.

Toyoda turut mencadangkan untuk menjual Prius sebagai kenderaan pengeluar perkakasan asal (OEM) kepada pengeluar lain supaya dapat dinikmati dengan lebih meluas.

Bagaimanapun, kakitangan Toyota mempunyai pendapat berbeza.

 

Toyota Prius 2023

 

Mereka mahu menghasilkan sebuah kereta yang bukan sahaja dipilih berdasarkan faktor rasional tetapi juga mengikut pengalaman emosi.

Bagaimanapun, gabungan faktor seperti rasionaliti, kecekapan bahan api dan beberapa ciri lain akan berdepan dengan banyak halangan.

Proses merekabentuk kereta juga menjadi satu tugas yang tidak mudah.

Mereka tetap percaya langkah seterusnya untuk Prius ialah menjadi sebuah kereta tanpa kompromi bagi meningkatkan tarikannya di mata pelanggan.

 

Toyota Prius 2023

 

Berdasarkan pengalaman lalu, Humphries merasakan Toyoda tidak menyangka mereka akan berjaya melakukannya.

"Sejujurnya saya tidak rasa Toyoda menjangkakan kami mampu mencapainya berdasarkan kesukaran yang dihadapi sebelum ini.”

Humphries memaklumkan Toyoda tidak menolak rancangan tersebut dan memberi jawapan menarik sewaktu ditunjukkan reka bentuk akhir.

"Beliau tidak menolak rancangan kami dan memberi peluang untuk membuktikannya dan memaklumkan konsep love berbanding komoditi adalah suatu yang menarik." katanya.

Tahukah anda apa reaksi Toyoda selepas melihat reka bentuk akhir Prius? "That's cool!." 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Simon Humphries, Pengurus Besar Kanan, Reka Bentuk, Toyota