Ini kisah di sebalik bas tak sekolah

oleh DIANA ISMADI|
Ini kisah di sebalik bas tak sekolah
Ini kisah di sebalik bas tak sekolah
Berniaga dengan trak dan van ini sudah menjadi “trend” di Malaysia. Pergi ke mana-mana pun ada sahaja nampak trak jual makanan, minuman, aiskim dan macam-macam lagi. Tapi kali ini kami jumpa sesuatu yang pelik dan kreatif! Orang berniaga buku dalam bas tak sekolah. Bas tak sekolah? Ya, Bas Tak Sekolah!

Berniaga dengan trak dan van ini sudah menjadi “trend” di Malaysia. Pergi ke mana-mana pun ada sahaja nampak trak jual makanan, minuman, aiskim dan macam-macam lagi. Tapi kali ini kami jumpa sesuatu yang pelik dan kreatif! Orang berniaga buku dalam bas tak sekolah. Bas tak sekolah? Ya, Bas Tak Sekolah!

 

bas tak sekolah

 

Dengan cara berfikir yang gila-gila, misi untuk menarik lebih ramai pelanggan berjaya apabila geng usahawan muda ini mengubahsuai sebuah bas sekolah “old school” tahun 1982 sebagai kedai buku bergerak yang digelar sebagai ‘Bas Tak Sekolah’.

 

Untuk mendapatkan cerita lanjut, team Careta telah berjumpa sendiri dengan pemilik Bas Tak Sekolah ini di Garaj Thukul Cetak, Bandar Baru Bangi.

 

Thukul Chetak merupakan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan penerbitan dan penjualan buku yang dijalankan oleh tiga usahawan muda, ZF Zamir 32 tahun, Mutalib Uthman 35 tahun dan Zulhilmi Daud 29 tahun.

 

bas tak sekolah

 

Walaubagaimanapun kami hanya sempat berjumpa dengan Zulhilmi yang dahulunya cikgu Bahasa Inggeris tapi kini telah menamatkan kerjaya sebagai guru kerana lebih minat untuk berniaga.

 

Sekali pandang ku sangkakan bas sekolah, rupanya bas tak sekolah….Apa cerita?

 

“Kami mahukan kelainan dan berikan pengalaman lain dari yang lain kepada pelanggan. Jika trak dan van sudah banyak orang gunakan sebagai platform untuk berniaga, tapi kami gunakan bas lama” kata Zulhilmi.

 

Bas tak sekolah

 

Bas tak sekolah

 

Dengan tidak disangka-sangka, pertama kali bas tak sekolah ini dibawa keluar, sambutan yang diterima memang hebat! Thukul Cetak sudah tiga tahun menjual buku secara konvensional. Tetapi dengan adanya bas tak sekolah ini, mereka dapat meluaskan potensi perniagaan.

 

Menurut Zulhilmi, idea bas tak sekolah ini sebenarnya datang dari rakan niaga beliau Mutalib yang juga merupakan ketua bahagian pemasaran. Mutalib datang dengan idea gila-gila beliau dimana beliau mahu sebuah kedai buku bergerak yang dapat menarik perhatian orang ramai.

 

Bas tak sekolah

 

Strategi pemasaran dengan menggunakan psikologi terbalik ini ternyata memberi impak yang positif kepada jualan Thukul Cetak. Sekali sahaja Bas Tak Sekolah ini melintasi pandangan mata anda, pasti anda akan tertanya-tanya kenapa bas ini tak sekolah.

 

“Pertama kali kami bawa bas ini ke Publika, bergegar macam nak roboh bas ni! Ramai yang nak masuk dan terpaksa beratur. Ramai juga yang dah jemput kami untuk sertai majlis dan pesta buku” kata Zulhilmi.

 

Bas tak sekolah

 

Sebenarnya, Thukul Cetak bukan sahaja cuba menarik hati pelanggan mereka berbekalkan pemasaran “guerrilla” sahaja, namun buku-buku yang dijual di dalam bas ini juga lain dari yang lain. Antara jenis buku yang dijual adalah politik, sains fiksyen dan non-fiksyen, sosial, komersial dan banyak lagi. Antara buku yang paling laris dijual termasuklah Pidato dan Strategi Perang, Cerpen-Cerpen Underground, Kuliah-kuliah Terakhir, Agong Tanpa Tengkolok dan lain-lain lagi.

 

Thukul Cetak telah menghabiskan sekitar RM40,000 untuk beli dan lakukan sedikit pengubahsuaian dalaman terhadap bas tersebut. Menurut Zulhilmi, walaupun ramai yang kata harga bas ini mahal, tetapi beliau berpuas hati.

 

Bas tak sekolah

 

“Sewaktu kami dapat bas ini, enjin masih tiptop dan tak banyak masalah. Jadi kami tak perlu keluarkan modal yang besar untuk baiki. Apa yang kami buat hanya tambah rak di bahagian dalam, untuk menyusun buku dan tampal pelekat ‘bas tak sekolah di luar bas” kata Zulhilmi.

 

Sewaktu ditanya kenangan manis dengan bas tak sekolah ini, Zulhilmi berkata “Kami semua tak pernah tahu cara nak bawa bas, dan kami lupa cara nak hidupkan enjin bas ni. Waktu itu kami dah panik dan nak hubungi bekas tuan bas, tapi beliau ke luar negara. Kami terpaksa tunggu sehingga beliau pulang ke Malaysia semata-mata nak tahu cara untuk hidupkan enjin bas”.

 

Bas tak sekolah

 

Bas tak sekolah

 

Rancangan masa hadapan…

 

Zulhilmi menyatakan bahawa mereka menyedari bahawa teknik pemasaran sahaja tidak akan menjamin kelestarian perniagaan mereka untuk masa hadapan.

 

Setakat ini, kami mempunyai perancangan untuk menambah bilangan Bas Tak Sekolah kami. Dengan usaha untuk mempertahankan slogan ‘Membaca Budaya Bangsa’, mana tahu mungkin bas-bas kami akan hinggap di mana-mana tapak “food truck” pula selepas ini”, kata Zulhilmi.

 

bas tak sekolah

 

Selain itu, Zulhilmi juga merancang untuk menjelajahh ke seluruh negara dengan Bas Tak Sekolah mereka.

 

“Jika pesta-pesta yang diadakan di seluruh negara boleh didatangi oleh penjual makanan, pakaian dan hiburan, kenapa tidak penjual buku”, ujar Zulhilmi lagi.

 

Kepada anda yang berminat untuk membeli buku dari Thukul Cetak atau menjemput ‘Bas Tak Sekolah’ untuk menyertai atau menjual buku untuk majlis tertentu, anda boleh layari https://thukulcetak.com/ atau hubungi Ali di talian 017-3632143.

 

 

Add new comment

Careta Ad