Spectre Lunaflair

Rolls-Royce Spectre Lunaflair diilhamkan dari fenomena halo atau cahaya sekeliling bulan.
Untuk menghasilkan seni sebegini, pakar Rolls-Royce menghabiskan masa selama setahun untuk membangunkan kemasan cat holografik yang unik dan mempesonakan.
Biasan pelangi dihasilkan daripada tujuh lapis lakuer dan lapisan mutiara yang diadun bersama serbuk magnesium fluorida dan aluminium.
Sebahagian dari konsep Spectre Lunaflair sebenarnya dipengaruhi dari sebuah lagi objek seni iaitu Phantom Syntopia.
Pelanggan Bespoke Collective Rolls-Royce terpesona dengan warna Liquid Noir pada Syntopia dan beliau mahukan olahan mengikut fenomena halo.
Black Badge Ghost City Lights
Jika Spectre Lunaflair mengambil ilham dari cahaya bulan, Black Badge Ghost yang dipesan dari United Kingdom (UK) menterjemahkan pemandangan waktu malam.
Panel papan pemuka bercahaya (Illuminated Fascia) mengambil inspirasi pandangan London dari langit gelap.
Lebih tepat, pemandangan bandar yang cantik dengan gemerlapan cahaya bandar dari pesawat ketika menghampiri pendaratan pada waktu malam.
Corak terpapar terdiri daripada 8,372 cahaya yang diukir menggunakan laser dan setiap satu disusun dengan tangan pada permukaan veneer Piano Black.
Cullinan Series II – Inspired by Rose
Satu ilham menarik iaitu bunga Phantom Rose yang dibiakkan khas untuk Rolls-Royce dan hanya tumbuh di halaman Home of Rolls-Royce di Goodwood.
Phantom Rose tiada di tempat lain dan dibawa di dalam Cullinan dalam bentuk sulaman pada sandaran kepala kerusi depan dan belakang.
Sekuntum bunga ros hasil lukisan tangan terpampang cantik pada garis badan luar.
Phantom Scintilla
Bahagian dalam Phantom Scintilla tampil tenang, kemas dan terperinci. Sebanyak 869,500 jahitan membentuk seni yang berlatarbelakangkan hiasan ala marmar Parian.
Pelapik bumbung atau Bespoke Starlight Headliner memaparkan animasi dari bintang yang dibentuk oleh 1,500 gentian optik.
Phantom Scintilla dihadkan kepada sepuluh buah sahaja dan seperti biasa kesemuanya sudah mempunyai pemilik.
Ghost Extended Series II – The Encounter
Ghost The Encounter dihiasi kenangan silam atau memperingati ulang tahun ke-120 pertemuan pengasas Rolls-Royce pada 4 Mei 1904.
Banyak identiti Charles Stewart Rolls dan Henry Royce dibuat pada kereta ini.
Singkatan nama disulam pada penyandar kepala kerusi, tandatangan pada tiang C dan tarikh pertemuan pada dapra.
Bahagian dalam menggunakan balutan Duality Twill iaitu fabrik rayon yang dibuat dari buluh dan corak berkembar yang merujuk kepada huruf R kedua-dua pengasas.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
