Ini eVTOL dari Honda, agenda kereta terbang semakin serius!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda eVTOL
Honda eVTOL
Kereta terbang merupakan topik hangat yang dibincangkan kebelakangan ini. Bukan sekadar bahan gurauan, beberapa syarikat ternama sudah melibatkan diri di dalam bidang ini.

Di antaranya ialah Uber, Airbus, Hyundai, Boeing dan Porsche.

Sebelum itu apakah yang dimaksudkan dengan kereta terbang? Seperti namanya, kenderaan ini boleh digunakan sebagai kereta dan juga kapal terbang.

Kereta terbang bukan baharu, sejarahnya bermula seawal tahun 1917 apabila warga Amerika Syarikat bernama Glenn Curtis membina Autoplane yang boleh mengangkat roda ke atas namun tidak boleh terbang penuh.

Selepas itu adalah sejarah dengan banyak percubaan oleh beberapa individu dan syarikat sehingga sekarang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Honda eVTOL

 

Kereta terbang pada hari ini tidak sepenuhnya menyerupai cantuman kereta dan kapal terbang tetapi lebih kepada kapal terbang atau helikopter.

Seperkara lagi ialah kereta terbang tidak semestinya menggunakan landasan atau memerlukan lapangan terbang untuk berlepas dan mendarat.

Satu ciri yang mendekatkannya kepada realiti ialah teknologi VTOL atau pelepasan dan mendarat secara vertikal (vertical take-off and landing).

Ini bermakna kereta terbang boleh berlepas dan mendarat seperti helikopter sebagai contoh di atas bumbung bangunan atau stesen terbang khas.

Dengan teknologi tersebut, kereta terbang dilihat alternatif yang baik kepada pengangkutan di darat.

 

Honda eVTOL

 

Menjadikan industri ini lebih serius apabila Honda mengumumkan pembangunan pesawat eVTOL (electric vertical take-off and landing).

Honda adalah pengeluar yang tepat di dalam bidang ini memandangkan ia mempunyai kepakaran dalam membina pesawat HondaJet dan memiliki teknologi rangkaian kuasa (powertrain).

Selain kelebihan yang dinyatakan di atas, eVTOL adalah kenderaan mesra alam kerana dijana kuasa elektrik dan lebih senyap disebabkan diameter bilah yang pendek.

Ciri tersebut membolehkan eVTOL berlepas dan mendarat di kawasan bandar tanpa bunyian kuat dan menggangu ketenteraman orang ramai.

Cuma satu perkara yang menjadi isu ialah kapasiti bateri yang terhad dan ini bermakna eVTOL lebih realistik untuk digunakan di dalam bandar sebagai contoh terbang dari Bangsar ke KLCC atau dari Masjid Muhammadi ke Wakaf Che Yeh.

 

Honda eVTOL

 

Tidak banyak dikongsikan Honda tentang ciri teknikal eVTOL seperti berapa jauh boleh terbang dan jumlah penumpang yang mampu dibawa.

Honda memaklumkan eVTOL buatannya akan memanfaatkan teknologi elektrifikasi yang dimiliki dan menggunakan unit kuasa hibrid turbin gas.

eVTOL itu juga akan menggunakan teknologi Honda dalam bidang berbeza seperti pembakaran, aerodinamik dan teknologi kawalan.

Lebih komprehensif dan jauh ke hadapan, Honda akan mewujudkan satu ekosistem mobiliti dengan eVTOL sebagai subjek utama dan berintegrasi dengan pengangkutan di darat.

Di situ kuncinya, eVTOL adalah paksi kepada pengangkutan lain dan tinggal Honda perlu mencantumkannya untuk masa depan!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Honda eVTOL

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Terbaharu, syarikat pengeluar Suzuki telah menandatangani perjanjian untuk membina model eVTOL…
Berita Global
  Dengan ciri-ciri seperti sistem kuasa elektrik sofistikated, aerodinamik canggih dan berat…
Berita Global
Penerbangan demonstrasi itu dibuat pada hari pembukaan acara pameran teknologi GITEX Global di…