Ini 5 sejarah 100 tahun Mazda - Dari kei-car, rotary, RX-7 dan Skyactiv!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Rupa-rupanya Mazda bukan bermula sebagai pengeluar kenderaan tetapi adalah kayu gabus. Ini sebenarnya perkara biasa untuk pengeluar kenderaan yang berusia 100 tahun atau lebih.

Sebelum hebat dengan teknologi Skyactiv dan kereta menawan berdasarkan falsafah Kodo, Mazda telah banyak mencipta sejarah di dalam dunia automotif.

Mazda bukan hari ini baru memilih haluan sendiri tetapi berpuluh tahun dahulu. Contoh mudah ialah enjin rotary dan kereta ikonik seperti MX-5 dan siri RX-7.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Mazda-R360-Coupe

 

2020 adalah tahun Mazda meraikan 100 tahun inovasi, merintis kejayaan reka bentuk dan kejuruteraan. 100 tahun juga adalah tempoh di mana Mazda mencatatkan pelbagai rekod di dalam sejarahnya. 

Berikut ialah lima sejarah dan rekod utama yang dicapai Mazda:

1. Langkah kanan dengan Mazda R360

Mazda memulakan langkah kanan melalui pelancaran kereta penumpang yang pertama pada tahun 1960. Mazda R360 dikeluarkan tepat pada masanya apabila ekonomi Jepun melonjak naik dan rakyat mula memiliki kereta.

R360 adalah sebuah kereta mikro (kei car) dan model 2+2 coupe itu berjaya menguasai 65 peratus pasaran segmen kereta mikro pada 1960. 

Segmen mikro pada tahun itu mewakili 15 peratus daripada keseluruhan pasaran kereta di Jepun.

Model yang comel itu kemudian disertai oleh Mazda P360 pada 1962 dengan saiz lebih besar dan empat pintu.

2. Mazda MX-5, model legenda dikeluarkan sehingga hari ini

 

Mazda MX-5

 

Di pasaran sekarang tidak banyak roadster yang dikeluarkan oleh jenama 'marhaen'. Mazda melawan arus dengan mengeluarkan MX-5, kereta sport pacuan roda belakang pada harga mampu milik.

Mazda konsisten dengan MX-5 sehingga hari ini sejak pertama kali dipertontonkan pada 1989 di Pameran Kenderaan Chicago.

Menariknya, MX-5 dipengaruhi oleh roadster klasik British yang sudah tidak lagi dikeluarkan pada masa itu.

Di antara individu yang bertanggung jawab untuk projek MX-5 ialah Bob Hall dan bertahun-tahun selepas itu pernah berkhidmat dengan Proton.

 

Mazda MX-5

 

Sejak dilancarkan pada 1989, MX-5 sudah merentasi empat generasi dan merupakan satu daripada kereta yang paling digemari di dunia.

Untuk sebuah kereta dalam segmen niche, prestasi MX-5 sangat luar biasa. Pada 2016 unit ke satu juta dikeluarkan dari kilang Ujina, Hiroshima.

3. Enjin rotary, legasi Mazda dalam memilih haluan sendiri

 

Rotary

 

Tidak sah bercakap tentang Mazda jika tidak menyentuh enjin rotary. Sebelum terkenal dengan haluan sendiri melalui projek enjin Skyactiv, Mazda terlebih dahulu menempa nama dengan enjin rotary.

Model pertama menggunakan enjin rotary ialah Mazda Cosmo yang dilancarkan pada 1967. Sejak dari itu pelbagai model dikeluarkan seperti Luce, R100, RX-2, RX-3 sehinggalah RX-7 yang juga sebuah model legenda. 

Sama seperti MX-5, percubaan Mazda berjaya dengan jumlah pengeluaran model yang dikuasakan enjin rotary mencecah 1.5 juta unit pada 1986.

Model terakhir yang menggunakan enjin rotary ialah Mazda RX-8, dikeluarkan dari 2003 hingga 2012.

4. RX-7 hebat di litar lumba, catat sejarah jenama Jepun

 

Mazda RX-7

 

Apa yang hebat sangat tentang enjin rotary selain tanpa omboh? Satu cara bagi membuktikan kehebatannya ialah di litar lumba. Pengeluar lain guna enjin biasa, Mazda guna enjin rotary.

Mazda banyak menempa kejayaan di litar lumba dengan enjin rotary. Mazda RX-7 adalah kereta Jepun pertama yang menjuarai Perlumbaan 24 Jam Spa pada 1981. Mazda juga memenangi lebih daripada 100 kelas perlumbaan IMSA di Amerika Syarikat. 

Satu lagi kejayaan hebat apabila Mazda 787B menang Perlumbaan Le Mans 24 Jam 1991 dan sekali lagi mencatat rekod pengeluar Jepun pertama menjuarai perlumbaan tahan lasak terkenal di dunia.

Selain kejayaan di litar lumba, Mazda RX-7 juga berjaya mencatat rekod terpantas.

Pada 1986, RX-7 memecahkan rekod Grand Touring Class SCTA pada acara Bonneville Salt Flats Speed Trial dengan kelajuan mencecah 238.442 bsj (383.735 km/j).

Pada 1995 sekali lagi rekod baharu dicatatkan di Bonneville. Kali ini RX-7 generasi ketiga yang diubahsuai mencatat kelajuan 389 km/j!

5. Teknologi Skyactiv

 

Mazda3

 

Teknologi Skyactiv merangkumi banyak aspek di dalam pembangunan kenderaan Mazda dari enjin, transmisi, badan kereta dan chasis. 

Hasil pertama teknologi ini boleh didapati pada Mazda2 13 Skyactiv pada tahun 2011. Kereta kompak itu menggunakan enjin Skyactiv-G 1,298 cc. Di antara ciri utama enjin itu ialah nisbah mampatan tinggi 14.0:1.

Bermula dari situ, siri Skyativ dikembangkan kepada enjin diesel (Skyactiv-D) transmisi (Skyactiv-Drive/MT), Skyactiv-Body, Skyactiv Hybrid, SkyActiv CNG dan Skyactiv-R (teknologi rotary, tidak dikeluarkan).

 

Mazda CX-30

 

Evolusi terkini diterjemahkan ke dalam Skyactiv-X yang dilancarkan pada 2019. Tonggak utama ialah teknologi compression-ignition yang menggabungkan kecekapan bahan api diesel dengan tahap responsif enjin petrol Skyactiv-G.

Dahsyat bukan? Enjin itu bukan sekadar bahan pameran atau tontonan dan ia telah digunakan pada Mazda3 dan Mazda CX-30 baharu.

Sebelum itu, pada tahun 2018 angka pengeluaran kenderaan Mazda di Jepun telah pun mencecah 50 juta unit!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Tags

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia memiliki sifat yang ringan dan kuat dalam masa yang sama, namun harus diingat gentian karbon…
Telah Diuji
Kalau diikutkan sejak CX-5 generasi kedua ini mula dilancarkan pada tahun 2017, sudah enam kali…
Berita Global
  Kesemuanya dipadan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan dan pacuan semua roda (AWD) i-…