Ini 5 fakta menarik Suzulight - Kereta pertama Suzuki!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Satu persamaan pengeluar kenderaan Jepun ialah bagaimana ia bermula dan transformasi ke dalam bidang lain. Senang kata, bermula A dan sekarang perniagaan B.

Toyota misalnya bermula dengan pembuatan mesin tenunan tekstil lebih 100 tahun dahulu dan hari ini menjadi gergasi automotif.

Selain Toyota, ada lagi syarikat yang bermula dengan pembuatan mesin tenunan tekstil iaitu Suzuki.

Iya, dari industri tekstil kepada kereta comel seperti Swift dan jip Jimny. Tidak dilupakan Suzuki Katana!
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Suzuki Jimny

 

Satu lagi momen penting buat Suzuki apabila tahun ini genap usia ke-100 tahun pengasasnya, Michio Suzuki pada Mac 1920 menubuhkan Suzuki Loom Manufacturing Co. 

Michio sebelum itu lagi telah lama terlibat dalam pembinaan mesin tenunan dan pada 1909 menubuhkan Suzuki Loom Works.

Mesin tenunan pertama yang dihasilkan dihadiahkan kepada ibunya.

 

Suzuki Ignis

 

Selepas menubuhkan syarikat baharu, industri berkembang dengan baik sehinggalah pada awal 50an apabila berlakunya penurunan permintaan secara global.

Suzuki pada masa itu terlibat dalam industri kain kapas.

Seperti syarikat Jepun lain, perniagaan Suzuki turut terjejas dengan peperangan dan kemelesetan ekonomi dan walaupun begitu masih ada masa aman dan Suzuki sempat menghasilkan keretanya yang pertama.

Berikut ialah lima fakta menarik 100 tahun Suzuki (1920 - 2020):

1. Tahun 1937 dah cuba buat kereta tapi tergendala

Pembangunan awal kereta pertama Suzuki bermula pada tahun 1937 dan projek itu tergendala disebabkan perang dunia kedua.

Kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) disambung semula pada 1954 apabila Suzuki Motor Co Limited ditubuhkan.

2. Semangat Yaramaika!

Berbekalkan semangat Yaramaika, syarikat terus berazam untuk mencapai apa yang dicitakan. Yaramaika bermaksud ayuh buat! atau let's do it! yang juga berakar dari wilayah Enshu di mana Suzuki ditubuhkan.

Michio Suzuki dengan pantas membuat kajian mengenai kenderaan yang dihasilkan di luar negara dan beliau memperolehi banyak pengetahun bagi menghasilkan kereta suzuki pertama.

Apakah nama kereta tersebut? Ringkas sahaja iaitu Suzulight. 

3. Suzulight - enjin 360cc berat lebih sikit 500kg

Suzulight

Kereta Suzuki yang pertama ini saiznya tidak besar, berat lebih sikit dari 500kg dan dikuasakan enjin 360cc.

Enjin kecil kuasa pun rendah iaitu 15PS sahaja. Satu lagi perkara menarik ialah enjin itu hanya mempunyai dua silinder dan yang pertama seumpamanya dipasang pada kereta.

Ianya juga kereta Jepun pertama dengan enjin depan-pacuan depan (FF).

Dengan spesifikasi tersebut, Suzulight dengan mudah layak memenuhi peraturan kei-car (kereta mikro) Jepun.

Satu lagi ciri menarik ialah suspensi dengan spring bebas dan stereng rack and pinion yang jauh ke hadapan pada masa itu.

4. Pandu jalan bergunung, sampai lambat dan nasib baik

 

Michio Suzuki

 

Dengan status kenderaan prototaip, di antara ujian awal kereta Suzulight ialah perjalanan 300km merentasi wilayah bergunung di Hakone iaitu di antara Hamamatsu dan Tokyo.

Laluan tersebut sememangnya mencabar kerana permukaan jalan yang belum diturap. 

Misinya ialah untuk menyerahkan kereta tersebut kepada pihak berkuasa. Walaupun tiba lambat, Suzulight diserahkan kepada Presiden Yanase Auto iaitu pihak berkuasa kenderaan di Jepun. 

Presiden tetap menunggu untuk menyambut mereka dan mencuba Suzulight. Beberapa jam kemudian, presiden kembali dan sangat kagum dengan kereta itu.

Beliau dengan segera memberikan kelulusan penuh kepada Suzuki untuk mengeluarkan Suzulight.

5. Bermula dengan tiga, empat kereta sahaja sebulan

Pengeluaran Suzulight bermula pada Oktober 1955 dengan jumlah awal hanya tiga ke empat unit sahaja sebulan.

Pada awal 1956, pengeluaran semakin bertambah sehingga mencecah 30 unit sebulan. 

Pada 1959, perubahan dibuat melalui pengenalan Suzulight TL dan populariti kenderaan Suzuki terus melonjak dengan pantas.

TL digemari disebabkan saiz ruang dalaman dan kapasiti simpanan walaupun mempunyai saiz kompak.

Walaupun reka bentuk berbeza, TL mengekalkan bentangan FF, enjin 360cc dua lejang, sejukan udara tetapi dengan penambahan kuasa kepada 21PS pada 5,000 rpm.

Suzulight TL

Pengenalan TL adalah keputusan tepat. Hanya tiga bulan selepas pengenalan TL iaitu pada Disember 1959, pengeluaran bulanan mencecah 200 unit.

Pengeluaran terus melonjak dan pada tahun fiskal 1960 sebanyak 5,824 unit berjaya dihasilkan!

Kini selepas 65 tahun kereta pertama dihasilkan, Suzuki kekal dikenali di peringkat global sebagai pakar kereta kecil dengan jumlah pengeluaran sebanyak tiga juta unit setahun.

Strategi asal Michio Suzuki iaitu rekaan dan pengeluaran kereta ringan terus dibawa sehingga ke hari ini dan boleh dilihat pada Ignis dan Swift. 

Tahukah anda berapa berat Suzuki Swift Sport Hybrid terbaru? Hanya 1,025 kg sahaja!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Suzuki Swift Sport 2018
Suzuki Swift Sport 2018

 

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Model edisi khas ini menampilkan rekaan perlumbaan menarik yang diinspirasikan daripada motosikal…
Berita Global
1983 - 1989: Suzuki Cultus generasi pertama / Swift     Di negara kelahirannya, Swift bermula…
Berita Global
Difahamkan, masalah tersebut berpunca daripada kipas pendesak (resin impeller) pada pam bahan api…