INFO BERKENAAN BATERI YANG PERLU ANDA TAHU

oleh Penyumbang Rencana 2|
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kebanyakan orang tidak lagi aktif bergerak seperti dahulu. Begitu juga dengan kenderaan. Ada juga pemilik kenderaan membungkus terus kenderaan mereka dan tidak menghidupkan kenderaan mereka buat jangka masa yang lama.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hal ini akan menyebabkan satu masalah iaitu masalah kehabisan caj bateri. Apabila masalah ini berlaku, akan timbul satu persoalan yang bermain di fikiran pemilik bateri jenis apa yang sesuai dengan kenderaan mereka.

Artikel kali ini kita akan mengupas serba sedikit tentang info teknikal berkaitan bateri kenderaan. 

 

Bateri Basah & Bateri Kering

bt


Secara asasnya, kebanyakan kenderaan menggunakan 2 jenis bateri ini. Kita mulakan dengan bateri basah.

Bateri Basah atau "Wet Battery" kebiasaannya digunakan pada kereta-kereta lama. Kekurangan bateri ini adalah ia perlu ditambah dengan air suling seiring dengan masa. Terdapat penutup diatasnya dimana pemilik boleh menambah air suling serta memantau kapasiti elektrolit di dalam bateri.

Namun tidak ramai pemilik mengambil berat akan perihal ini. Kapasiti elektrolit yang semakin berkurang akan mengakibatkan bateri tidak dapat beroperasi di dalam keadaan yang optimum seterusnya membuatkan kenderaan tidak dapat dihidupkan. Sekiranya dijaga dengan baik, rekod menunjukkan bateri basah mampu bertahan dalam jangka masa yang lama.
 

battery


Bateri Kering atau "Dry Cell Battery" atau "Maintenance Free Battery" pula merupakan bateri generasi baru yang tidak memerlukan penjagaan rapi. Teknologi ini dicipta seiring dengan masa dimana kebanyakan pengguna tidak perlu risau dan bersusah payah untuk "menjaga" kadar elektrolit di dalam bateri. Ia akan habis bila sampai masanya. Kebiasaannya jangka hayat bateri ini sekitar 2-3 tahun.

Sebenarnya bateri jenis ini juga mempunyai penutup di atas baterinya dan ditutup dengan pelekat. Ia masih boleh dibuka untuk tujuan pemantauan kadar elektrolit dan boleh ditambah dengan air suling. Namun, jika masih berbuat begini, tidak kena dengan tujuan asal bateri ini dicipta serta namanya "Maintenance Free". Teknologi berevolusi untuk menyenangkan kita. Tidak ramai yang mempunyai masa terluang untuk memantau keadaan bateri.

 

JIS & DIN

bateriu


Kita mulakan dengan JIS. JIS bermaksud "Japanese Industrial Standard" dimana bateri yang menggunakan spesifikasi ini banyak terdapat di kenderaan buatan Jepun serta tempatan. Cara mengenalpasti spesifikasi bateri JIS adalah melalui kod bateri seperti NS60 atau 46B24RS atau 34B19L.

Kod NS merupakan kod spesifikasi JIS yang lama. Sekarang mereka menggunakan xxBxxL/R.

Mengambil contoh kod 46B24RS, angka 46 merujuk kepada "Starting Cranking Power" dan kapasiti bateri. Huruf B pula merujuk kepada saiz bateri. Ada yang menggunakan huruf A atau C. Lagi besar abjad lagi besar saiz bateri. Angka 24 selepas abjad pula merujuk kepada panjang bateri dalam ukuran sentimeter.

Abjad selepas nombor pula merujuk kepada kedudukan terminal positif bateri. L untuk kiri dan R untuk kanan. Abjad S selepasnya pula merujuk kepada saiz terminal bateri. Sekiranya tiada abjad selepasnya, ia bermakna terminal bateri tersebut bersaiz standard. Sekiranya terdapat abjad S selepasnya, ia bermakna terminal bateri tersebut bersaiz kecil.

Kesimpulannya, bateri JIS 46B24RS bermaksud kapasitinya adalah 45Ah, bersaiz 12.9cm lebar 20.3cm tinggi, 24 cm panjang, terminal positif berada di bahagian kanan dan terminalnya bersaiz kecil.
 

DIN55R


Sekarang kita pergi pada DIN. DIN merujuk kepada "DeutchesInstitutfurNomug" atau dalam bahasa inggerisnya "German Industrial Standard". Spesifikasi ini banyak digunakan pada kenderaan buatan Eropah.

Kod bagi bateri jenis DIN ini lebih mudah seperti DIN55R. Angka 55 pada bateri merujuk kepada saiz keseluruhan merangkumi saiz bateri, kapasiti bateri, "Cold Cranking Ampere"  dan "Reserve Charge" bateri. Abjad dibelakangnya pula merujuk kepada kedudukan terminal positif bateri.

Kebiasaannya, bateri jenis DIN mempunyai rujukan nilai spesifikasi pada pelekat bateri. Nilai tersebut merangkumi :-

  • Ampere Hour (Ah) - Kapasiti Bateri
  • Cold Cranking Ampere (CCA) – Bilangan arus yang mampu dibekalkan bateri pada keadaan sejuk selama 30 saat sambil mengekalkan voltan minima 7.2V
  • Reserve Charge (RC) - Ukuran berapa lama bateri mampu untuk memberikan kuasa kepada kenderaan

Nilai-nilai diatas merupakan faktor penting dalam menentukan pilihan bateri untuk kenderaan anda. Kegagalan mengikuti spesifikasi yang ditetapkan mampu untuk merosakkan komponen lain kenderaan seperti alternator atau bateri itu sendiri.

 

EFB & AGM

EFB


EFB bermaksud "Enhanced Flooded Battery". Bateri ini secara spesifikasinya lebih kurang sahaja seperti bateri "Maintenance Free" yang biasa namun dipertingkatkan keupayaannya untuk digunakan oleh kenderaan yang mempunyai sistem "Auto Start Stop"

Sebagai contoh, Perodua Myvi terbaru dilengkapi dengan sistem "Auto Start Stop" dan ia mesti dilengkapi dengan bateri jenis EFB. Kalau pakai bateri jenis lain sistem ini berkemungkinan besar tidak berfungsi dengan baik.
 

AGM


AGM bermaksud "Absorbent Glass Mat". Bateri jenis ini menggunakan komponen yang dipanggil "Glass Mat Separator" yang berfungsi untuk meresap dan menyimpan elektrolit didalamnya. Dalam erti kata lain, ia tidak memerlukan elektrolit cair untuk berfungsi sekaligus tidak memerlukan penambahan elektrolit. 

Bateri AGM juga mempunyai kapasiti yang lebih besar secara keseluruhannya merangkumi Ah, CCA dan RC. Ia juga sangat berat dan sangat mahal. Harganya dalam lingkungan 4 angka.

Kebiasaannya kenderaan yang mempunyai sistem "Auto Start Stop" dan "Braking Energy Recuperation" memerlukan bateri jenis AGM. 

Sebagai contoh, model-model kenderaan seperti Mercedes Benz, BMW dan Jaguar Land Rover memerlukan bateri jenis AGM bagi membolehkan kenderaan beroperasi dengan baik.

 

BMS/IBS Reset & Retrofit

Kebanyakan kenderaan buatan Eropah mempunyai sistem "Battery Management System" (BMS) atau "Intelligent Battery Sensor" (IBS). Sistem ini berfungsi untuk mengukur parameter bateri seperti voltan, arus dan suhu bateri secara tepat.

Data yang dikumpulkan seterusnya digubah untuk mendapatkan "State Of Health" dan "State Of Charge" bateri. Data-data ini penting bagi membolehkan kuasa yang dikeluarkan oleh bateri diedarkan secara cukup dan tepat kepada komponen-komponen kenderaan.

Kenderaan-kenderaan yang mempunyai sistem BMS/IBS juga memerlukan proses "Reset" apabila bateri ditukar. Jika tidak, sistem masih menganggap bateri kenderaan anda merupakan bateri lama dan data yang dikumpulkan oleh sistem ini juga tidak tepat sekaligus mengganggu operasi kenderaan anda. Proses ini boleh dilakukan dengan menggunakan "Scan Tools" yang terkini.

 

Panduan Memilih Bateri

Car


Di atas sudah diterangkan sedikit sebanyak  tentang spesifikasi dan jenis bateri. Begitu juga dengan prosedur sebelum menukar bateri.

Apa yang anda boleh lakukan pertama sekali semak buku panduan (Owner's Manual) kenderaan anda dan lihat spesifikasi yang ditetapkan oleh pengeluar. Kebiasaannya info ini terdapat di dalam buku manual. 

Seterusnya adalah lihat spesifikasi bateri anda sebelum ditukar dengan yang baru. Pastikan spesifikasi serta saiznya sama. Cara ini merupakan cara paling mudah.

Sekiranya anda memiliki kenderaan buatan Eropah terkini, adalah lebih baik meminta nasihat mekanik bertauliah sebelum menukar bateri. Hal ini kerana mereka lebih arif tentang proses menukar bateri dan prosedur selepas menukar bateri seperti "IBS/BMS Reset" dan "Retrofit"


Penulis: Ahmad Omar

Penulis merupakan seorang pengarah urusan pusat servis kenderaan. Beliau berpengalaman bertugas sebagai mekanik, penasihat teknikal dan pengurus pemasaran di dalam dan luar negara. Beliau juga berpengalaman di dalam mengendalikan jentera-jentera mewah dari Itali, Jerman, UK dan Jepun.

Berita Berkenaan

Berita Global
Perlumbaan untuk menghasilkan bateri lithium soild state adalah perlumbaan paling ketara sekarang…
Berita Global
Bercakap dengan pemberita Nikkei Asia, Liu Jingyu, pengerusi CALB berkata pembinaan kilang bateri…
Berita Global
Bateri baharu itu mensasarkan pembinaan bateri yang mampu bertahan selama 15 tahun, hampir dua kali…