Infiniti QX55 2022 diperkenalkan - crossover coupe 268 hp/380 Nm, AWD

oleh Mohamad Hanif|
Sebelum kehadiran segmen yang dikenali sebagai SUV/crossover coupe dimulakan dengan BMW X6 pada tahun 2008, Infiniti terlebih dahulu hadir dengan sebuah produk yang serupa dikenali sebagai FX kira-kira hampir dua dekad yang lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kini, legasi tersebut diteruskan dengan pengenalan model crossover coupe baharu yang digelar sebagai Infiniti QX55 2022.

Ia dibangunkan berdasarkan model QX50, namun dengan penampilan yang lebih sporti dimulakan dengan garis bumbung yang lebih rendah, rumah hijau yang lebih kompak, garisan badan yang lebih menonjol, serta rim bersaiz 20 inci sebagai ciri standard.

 


Di bahagian hadapan, rekaan gril besar menghiasi ruang tersebut yang diapit dengan unit lampu LED serta liang kemasukan udara yang lebih sporti.

Sementara ruang belakang pula menampilkan lampu belakang dengan rekaan berbentuk kekunci piano digital yang terdiri daripada 45 unit LED, pintu belakang berkuasa dan diakhiri dengan sistem ekzos tip berkembar.

 


Memasuki ruang kabin, anda akan disambut dengan kehadiran gugusan meter analog di sebalik roda stereng, serta skrin berkembar masing-masing bersaiz 7 dan 8 inci, di mana Infiniti QX55 merupakan model pertama yang menyokong sambungan Apple CarPlay secara nirwayar.

Penumpang belakang kini mendapat ruang kaki yang lebih luas, iaitu sekitar 983 mm, di mana tempat duduk baris kedua boleh dianjak 152 mm untuk ruang penumpang atau ruang kargo yang mampu menempatkan sehingga 762 liter!

 


Infiniti QX55 dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang mampu menjana 268 kuasa kuda dan 380 Nm, sistem transmisi CVT serta sistem pacuan semua roda dengan kecenderungan pengedaran kuasa kepada gandar hadapan.

Namun, dalam keadaan tertentu, kuasa tersebut boleh disalurkan sehingga 50% kepada gandar belakang bertujuan untuk kawalan cengkaman dan pecutan yang lebih baik.

Terdapat sehingga tiga varian yang bakal ditawarkan iaitu Luxe, Essential dan Sensori, di mana varian asas mendapat kelengkapan seperti upholsteri leatherette, trim aluminium, bumbung bulan dan tempat duduk hadapan dengan ciri pemanas terbina.

 


Varian yang paling tinggi pula menampilkan kulit semi-aniline, trim kayu berliang terbuka, dan sistem audio Bose dengan 16 pembesar suara.

Ciri keselamatan turut didatangkan seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, paparan head-up, bantuan pengecaman papan tanda serta sistem bantuan pemandu semi-autonomi ProPilot Assist.

Crossover coupe mwah ini akan mula dijual di Amerika Utara bermula tahun hadapan diikuti oleh pasaran Timur Tengah, Russia dan beberapa pasaran Asia.