Menurut Menteri Kanan Negara bagi Pengangkutan, Sun Xueling, langkah ini diambil selepas menerima aduan daripada penduduk mengenai operasi aplikasi tersebut. Beliau menjelaskan bahawa inDrive merupakan platform ride-sharing yang membolehkan pengguna menawarkan kadar tambang pilihan mereka, sebelum dicari pemandu yang sanggup menerima tawaran itu.
Bagaimanapun, aplikasi ini turut memfasilitasi aktiviti ride-hailing haram ke destinasi dalam Singapura. Kini, jika pengguna cuba membuat tempahan dengan lokasi di Singapura, paparan amaran akan muncul dan transaksi tidak boleh diteruskan.
Berdasarkan laman rasmi inDrive, syarikat itu beroperasi di lebih 980 bandar di hampir 50 negara, dengan lebih 3.6 juta muat turun aplikasi. Namun, di Singapura, hanya pengendali berlesen seperti CDG Zig, Geolah, Gojek, Grab, Ryde, Tada dan Trans-cab dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA).
Untuk menawarkan perkhidmatan teksi atau kereta sewa persendirian, pemandu mesti memiliki Public Service Vehicle Licence (PSVL). Bagi teksi berdaftar di Malaysia pula, mereka memerlukan Asean Public Service Vehicle Permit.
Sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa Singapura giat membanteras kegiatan ride-hailing haram, termasuk operasi lintas sempadan dengan Malaysia. Pada 11 Julai lalu, lebih 20 pemandu ditahan kerana menawarkan perkhidmatan tanpa lesen di Lapangan Terbang Changi dan Gardens by the Bay. Sementara itu, operasi pada 18 Julai menyaksikan 10 lagi pemandu ditangkap kerana membawa penumpang secara haram di dalam Singapura dan ke Johor Bahru.
Dalam operasi berasingan pada 5 Ogos, 19 pemandu turut diberkas atas kesalahan sama. Laporan terdahulu mendedahkan bahawa sejak 2022, sebanyak 136 pemandu telah ditahan kerana menyediakan pengangkutan penumpang lintas sempadan secara haram, dengan kenderaan mereka turut disita.
Sun Xueling menegaskan bahawa perkhidmatan tanpa lesen ini bukan sahaja membahayakan keselamatan penumpang kerana tiada perlindungan insurans, malah menjejaskan mata pencarian pemandu sah.

Pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$3,000, penjara enam bulan, atau kedua-duanya sekali, di samping risiko kenderaan dilucut hak.
“Kami akan terus berusaha untuk menghalang aktiviti ride-hailing haram,” kata Sun dalam kenyataan di Facebook pada 27 Ogos.
Sumber: The Straits Times