Indonesia sudah rancang polisi automotif untuk jadi hab kenderaan elektrik Asia Tenggara

oleh HEZERI SAMSURI|
Indonesia nampaknya sudah mengumumkan ia bakal memperkenalkan polisi automotif yang membolehkan negara besar itu menjadi hab kenderaan elektrik untuk rantau Asia Tenggara.

Insentif-insentif itu akan menarik perhatian pelabur luar. 

Sebelum itu, Toyota Motor Corp sudah pun mengumumkan pelaburan bernilai US$2 billion untuk pembangunan kenderaan elektrik di Indonesia.

Hyundai juga telah mengumumkan pelaburan sebanyak US$1 billion untuk membina dua buah kilang di Indonesia untuk membina kenderaan mereka, termasuk kenderaan elektrik.

Softbank Group Corp dari Jepun pula akan melabur sebanyak US$2 billion dalam tempoh lima tahun ini melalui aplikasi Grab. 

Ia juga sedang meninjau peluang pelaburan dalam sektor kenderaan elektrik Indonesia, pembuatan bateri dan sektor punca tenaga boleh diperbaharui (renweable energy sources).

Menurut Jeffrosenberg Tan, ketua bahagian pelaburan strategik untuk PT Sinarmas Sekuritas, perubahan dasar untuk industri automotif itu adalah yang terbesar dan paling berani pernah dilakukan oleh kerajaan Indonesia.

Khamis lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata beliau akan menandatangani dokumen berkaitan insentif tersebut.

"Kita boleh terus maju untuk menyediakan infrastruktur bagi kenderaan elektrik," ujarnya tanpa memberitahu lebih lanjut akan insentif yang bakal diumumkan kelak.

Kadar cukai kenderaan di Indonesia ialah berdasarkan genre dan bentuk kenderaan. Contoh yang diberikan oleh Bloomberg ialah SUV premium seperti BMW X3 sDrive mempunyai kadar cukai yang lebih rendah dari sebuah Toyota Camry Hybrid kerana kenderaan kategori sedan dikira sebagai kenderaan mewah di Indonesia.

Ini juga menjadi sebab kenapa MPV dan kenderaan hatchback lebih popular di negara dengan 270 juta penduduk itu.

Polisi baharu akan mengubah kadar cukai kenderaan dari bentuk badan kenderaan kepada penggunaan bahan api serta kadar asap.

Ia juga diberitakan akan memastikan syarikat kenderaan elektrik di Indonesia meningkatkan penggunaan komponen tempatan sehingga 80 peratus menjelang tahun 2030.

Pengeluar motosikal elektrik pula perlu mencapai kadar 80 peratus itu lebih awal, iaitu seawal tahun 2026.

Antara perubahan lain yang disenaraikan ialah:

  • Kenderaan elektrik, fuel cell dan hybrid Pulg In tidak akan dikenakan cukai.
  • Kenderaan hybrid dengan enjin berkapasiti sehingga 3,000 cc akan dikenakan cukai antara 0 ke 8 peratus. 
  • Kenderaan hybrid dengan enjin berkapasiti melebihi 3,000 cc akan dikenakan cukai antara 20 ke 30 peratus, bergantung pada penggunaan bahan api dan kadar asap.
  • Kenderaan penumpang dengan enjin petrol atau diesel akan dikenakan cukai antara 15 ke 70 peratus bergantung pada penggunaan bahan api, saiz enjin, jumlah tempat duduk dan kadar pelepasan karbon.
  • Kenderaan perdagangan seperti bas dan lori akan dikenakan cukai 0 antara 30 peratus.

Malaysia sudahpun mempunyai insentif cukai berdasarkan kadar penggunaan bahan api melalui skim Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan Dasar Automotif Negara (NAP) baharu yang dijangka akan diumumkan bulan hadapan bakal memberikan lebih insentif kepada kenderaan elektrik kerana Malaysia juga berhasrat untuk menjadi hab EV di Asia Tenggara. 

Namun begitu, dengan pasaran domestik sebesar Indonesia, kerajaan Malaysia perlu lebih kreatif dalam cara mereka menarik sumber-sumber pelaburan asing.

Berita dipetik dari Bloomberg


 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Presiden Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono, penunggang…
Berita Global
Menurut laman web berita Indonesia, Kompas.com, ada hampir 8.7 juta kenderaan termasuk motosikal…
Berita Global
Ia merupakan salah satu calon yang sesuai untuk dibawa masuk ke pasaran Indonesia yang sememangnya…