India tawar jual 18 jet tempur Tejas kepada Malaysia

oleh SALINA JALIL|
India menawarkan untuk menjual 18 pesawat tempur ringan (LCA) Tejas kepada Malaysia, kata Kementerian Pertahanan negara itu hari ini.


Kementerian terbabit menambah bahawa Argentina, Australia, Mesir, Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Filipina turut berminat dengan jet enjin tunggal itu.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CHERY Omoda 5 NCAP MREC Banner Campaign September 2024

 

Kerajaan India tahun lalu memberikan kontrak AS$6 bilion kepada syarikat milik kerajaan, Hindustan Aeronautics Ltd bagi membolehkan 83 jet Tejas yang dibina dalam negara dihantar bermula 2023, empat dekad selepas ia mula diluluskan pada 1983.

 

Kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi, yang mahu mengurangkan kebergantungan India terhadap peralatan pertahanan asing, turut melakukan usaha diplomatik untuk mengeksport jet berkenaan.

 

Pesawat Tejas sentiasa berdepan masalah reka bentuk dan cabaran lain, malah pernah ditolak oleh Tentera Laut India kerana terlalu berat.

Kementerian Pertahanan memberitahu Parlimen negara itu bahawa Hindustan Aeronautics pada Oktober tahun lalu telah memberikan jawapan kepada permintaan cadangan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi 18 jet, dengan menawarkan untuk menjual varian dua tempat duduk Tejas.

 

"Negara lain yang telah membuktikan minat terhadap pesawat LCA itu adalah: Argentina, Australia, Mesir, AS, Indonesia dan Filipina," kata Menteri Pertahanan Junior, Ajay Bhatt kepada ahli Parlimen dalam satu jawapan bertulis.

 

Beliau berkata, negara itu juga sedang mengusahakan pengeluaran jet pejuang halimunan, namun enggan memberikan garis masa, dengan memetik kebimbangan terhadap keselamatan negara.

 

Britain pada April lalu berkata ia akan menyokong matlamat India untuk membina jet pejuang sendiri.

 

India ketika ini memiliki jet pejuang yang dikeluarkan oleh Russia, Britain dan Perancis.

 

India bercadang untuk menghentikan jet pejuang Russia era Soviet, MiG-21, menjelang 2025, susulan beberapa kemalangan maut, lapor Times of India bulan lalu.

 

 

 

 

-Reuters

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  "Ankara kini berada di setiap lapangan termasuk darat, laut, kapal selam, udara dan angkasa…
Berita Global
  Bagi mengendali dan menyelenggara pesawat buatan Perancis itu pihak kementerian telah merancang…