iMotorbike bakal masuki pasaran Vietnam

oleh SALINA JALIL|
Selepas berjaya menembusi pasaran Indonesia, platform e-dagang motosikal Malaysia, iMotorbike merancang untuk memasuki pasaran Vietnam tidak lama lagi.


Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gil Carmo berkata Vietnam merupakan pilihan yang jelas berikutan rakyat negara itu celik digital.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

“Mereka juga mungkin pasaran motosikal ketiga terbesar di rantau ini, dengan antara 50 juta dan 60 juta motosikal berdaftar. 

 

“Pasukan sedang bersiap sedia. Semua yang asas telah dilakukan. Kami tidak mempunyai tarikh yang tepat (untuk memasuki pasaran) tetapi kami akan beroperasi tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

Platform iMotorbike memberikan perkhidmatan kepada pengeluar motosikal, peniaga, penyedia perkhidmatan dan pengguna secara eksklusif, menawarkan rangkaian perkhidmatan yang luas seperti penyelidikan pasaran, pembiayaan motosikal dan insurans.

 

Ia turut termasuk pasaran pelanggan kepada pelanggan iaitu pengguna boleh membeli dan menjual bahagian motosikal terpakai dan aksesori.

 

“Visi kami sentiasa berkembang. Lebih banyak kami dapat menyokong, lebih banyak kami dapat memberikan perkhidmatan.

 

“Kami perlu merancang dengan teliti untuk menjamin bahawa kami dapat memberikan perkhidmatan kepada pasaran dengan cekap,” kata Carmo.

 

 

Mengenai masa depan, katanya syarikat menyasarkan bukan hanya menyokong pengguna, pembeli dan penjual, tetapi juga peniaga, jenama, pengilang serta pengeluar bahagian dan produk berkaitan seperti minyak pelincir.

 

“Kami mahu menyokong penggiat serantau dan mekanik dalam menaik taraf perniagaan mereka dan kami kini bekerjasama dengan lebih 2,800 peniaga (syarikat).

 

“Setiap pengguna, sama ada entiti profesional atau individu, perlu menjalani proses saringan  untuk menjamin kebolehpercayaan mereka,” kata Carmo.

 

Dengan penyertaan daripada peniaga dan pengguna individu, platform itu mempunyai rangkaian motosikal lama dan baharu yang luas untuk dijual, katanya, sambil menambah pada masa ini, terdapat permintaan yang tinggi untuk motosikal kapcai dan motosikal dengan kapasiti enjin sebanyak 250cc dan ke bawah.

 

Mengulas mengenai populariti yang meningkat untuk motosikal di Asia Tenggara, katanya ia merupakan perkembangan yang biasa berikutan jumlah trafik yang meningkat.

 

“Kelas pertengahan semakin berkembang. Sebahagian besar penduduk di Vietnam, Indonesia dan Filipina kini memasuki kategori kelas pertengahan.

 

“Oleh itu, terdapat isu dengan jumlah penduduk yang meningkat di bandar-bandar besar, dan menunggang motosikal ke tempat kerja adalah lebih cekap,” katanya.

 

 

Selain jumlah trafik yang meningkat, Carmo berkata rantau ini juga mempunyai cuaca yang sesuai untuk menunggang motosikal berbanding Eropah dan negara-negara lain di Barat apabila cuaca boleh menjadi terlalu sejuk.

 

“Ia bukan hanya boleh menggunakan motosikal setiap hari (di negara-negara tersebut) sepanjang tahun, tetapi di rantau ini (Asia Pasifik), anda boleh menunggang motosikal setiap hari,” katanya.

 

Carmo berkata 65 peratus daripada jumlah penduduk di rantau Asia Pasifik memiliki motosikal, sambil menambah jumlah pemilik motosikal di Malaysia turut meningkat sebanyak 8.89 peratus dalam tempoh hanya tiga tahun.

 

Bagi menyokong rangkaian perkhidmatannya yang luas, iMotorbike bekerjasama dengan jenama yang kukuh, termasuk Berjaya Sompo, Direct Lending dan Zurich.

 

iMotorbike juga merupakan pemegang MSC Status Tier 1, yang memberi mereka kelebihan daya saing untuk meningkatkan usaha mereka untuk industri motosikal.

 

website

 

 

 

-- BERNAMA