Ini adalah berdasarkan beberapa keping gambar yang muncul di laman web Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China yang mendedahkan rekaan sebenar versi produksi yang hampir sama dengan model konsep Toyota bZ SDN yang diperlihatkan pada tahun lalu.

Terdapat persamaan rekaan dengan model bZ4X, terutama di bahagian depan dengan rekaan unit lampu yang hampir sama, diikuti dengan bar lampu LED yang lebih menonjol.
Sementara bahagian sisi pula menampilkan rekaan tingkap yang besar, bertujuan untuk menjadikan ruang kabin yang lebih luas, dengan profil sisi yang agak unik untuk sebuah model Toyota.

Berdasarkan laporan, Toyota bZ3 akan membawakan susun atur ruang kabin dengan skrin infotainmen yang menegak, kluster digital serta rekaan roda stereng yang hampir sama dengan model bZ4X.
Tidak dapat dipastikan sama ada opsyen stereng yoke pada model bZ4X akan turut ditawarkan pada model bZ3.

Sama seperti bZ4X, bZ3 dibina menggunakan senibina e-TNGA, namun dengan konfigurasi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang sahaja (181 hp atau 240 hp), sementara pek bateri lithium iron phospate pula dibangunkan oleh BYD.
Difahamkan, Toyota bZ3 ini akan muncul secara rasmi di acara Guangzhou Auto Show pada bulan November ini.