Model terbaharu itu telah diumumkan pada penghujung tahun lepas, dan kini kita sudah boleh melihat 'rupa paras' sebenar menerusi imej paten yang tertiris di alam maya.

Berdasarkan imej yang diperoleh daripada laman forum Cochespias, Volvo EX30 itu banyak membawakan elemen rekaan yang dipinjamkan daripada Volvo EX90, seperti unit lampu utama berbentuk tukul Thor, serta rekaan lampu belakang jenis two-piece.
Selain itu, EX30 membawakan ukuran yang lebih kecil berbanding XC40 Recharge, namun dengan profil sisi yang hampir menyamai rekaan 'abangnya' itu.

Volvo EX30 dijangka akan menggunakan pelantar Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely, di mana platform tersebut turut digunakan oleh smart #1, serta Polestar 4.
EX30 yang akan dibina di China itu turut diramal menggunakan teknologi bateri lithium iron phosphate (LFP) yang lebih murah berbanding teknologi lithium-ion sedia ada.

Menurut CEO Volvo, Jim Rowan berkata, penggunaan teknologi bateri itu bertujuan untuk mencapai keseimbangan harga antara kenderaan elektrik dan kereta petrol menjelang tahun 2025 atau 2026.
Sumber: Drive
Imej Paten Volvo EX30