Imej beresolusi rendah yang dikongsikan oleh beberapa akaun Instagram itu memperlihatkan pengganti Aventador dari beberapa sudut, yang pasti ia membawakan rekaan yang jauh lebih agresif.

Rupa paras supercar ini nampak lebih kurang sama dengan ahli keluarga yang lain, dikuasai dengan pelbagai elemen tajam dan rekaan berbentuk Y, sementara bahagian belakang pula menempatkan sepasang tip ekzos berbentuk heksagon yang diapit oleh lampu berbentuk Y.
Dalam beberapa laporan terdahulu, Lamborghini mengesahkan model pengganti Aventador ini masih lagi mengekalkan peranan enjin bentangan V12 yang akan dibantu dengan sistem hibrid motor elektrik.

Mungkin, angka kuasa kuda yang bakal dihamburkan oleh pengganti Aventador ini mampu menyaingi model-model supercar hibrid yang ada di pasaran, seperti Ferrari SF90 Stradale.
Lamborghini dijangka akan mendedahkan model yang masih belum mendapat nama rasmi ini pada tahun ini sebagai model tahun 2024.