Ibu dan bayi maut nahas dua kenderaan

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG wanita dan bayinya berusia tiga bulan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands tengah hari tadi.

Mangsa wanita berusia 23 tahun dan bayi lelaki terbabit yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa lelaki cedera parah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sementara itu seorang lagi mangsa yang menaiki Mercedes dan  turut terababit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kemalangan kira-kira pukul 12.46 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Mercedes yang bertembung dari arah bertentangan.

"Terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Myvi itu iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun yang cedera parah akibat tersepit di bahagian pemandu, manakala dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan,” katanya.

Katanya, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada ambulans.

Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 2.54 petang.