IAA 2019 - Land Rover Defender 2020 rasmi dilancarkan!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa tahun, akhirnya Land Rover Defender generasi baharu selamat dilancarkan membawakan semangat off-road yang telah ditinggalkan oleh generasi terdahulu di sebalik kulit yang lebih moden.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Land Rover Defender dibangunkan berdasarkan platform monocoque D7x dan bakal ditawarkan dalam bentuk Defender 110 dan diikuti oleh model Defender 90 dan Defender 130 yang lebih panjang. 

Menurut Land Rover, Defender generasi baharu ini dikatakan lebih kukuh dan lebih berkeupayaan terima kasih kepada penggunaan platform dan struktur badan aluminium yang baharu yang disulami dengan teknologi abad ke-21.
 


Defender 2020 mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 291 mm dengan sudut pendekatan, sudut pelepasan dan sudut breakover masing-masing ialah 38, 40 dan 28 darjah. 

Kemampuan meredah air pula dicatatkan sedalam 900 mm manakala keupayaan tunda maksimum pula dihadkan kepada 3,270 kg. 

Jika anda perasan, Defender 2020 banyak membawakan elemen-elemen klasik Defender generasi terdahulu, seperti lampu hadapan yang separa bulat, lampu belakang yang menegak dan profil sisi yang menampilkan arca roda bersegi. 
 


Malah, di bahagian belakang juga menampilkan ruang penyimpanan tayar ganti yang tergantung. 

Sebagai sebuah Land Rover, pengeluar kenderaan off-road itu menawarkan sehingga 12 rekaan rim yang berbeza - daripada rim keluli bersaiz 18 inci sehinggalah kepada rim aloi Luna bersaiz 22 inci. 

Manakala untuk warna luaran, tujuh pilihan ditawarkan termasuklah Fuji White, Eiger Grey, Santorini Black, Indus Silver serta tiga warna metalik unik (Tasman Blue, Pangea Green dan Gondwana Stone).
 


Walaupun luaran kelihatan agak klasik, bahagian dalaman pula menampilkan cerita yang berbeza, sesuai dengan peredaran zaman yang kian moden ini. 

Di bahagian kokpit, pemandu akan disajikan dengan skrin kluster meter digital dan skrin tengah serta sebuah paparan head-up yang dikuasakan oleh Land Rover Electronic Vehicle Architecture (EVA 2.0). 

Sistem ini turut menyokong kemas kini Software-Over-The-Air (SOTA). 

Walaubagaimanapun, rekaan papan pemuka lebih ringkas dengan kehadiran butang fungsi yang minimum. 
 


Dari segi konfigurasi tempat duduk, Defender menawarkan satu ciri unik iaitu Front Row Center Seat di mana anda boleh menempatkan seorang lagi penumpang di baris hadapan yang menjadi ciri standard untuk Defender 90 First Edition. 

Ini bermakna, Defender 90 mampu memuatkan sehingga enam orang, manakala Defender 110 pula boleh memuatkan sehingga tujuh orang pada satu-satu masa!

Jika tidak diperlukan, tempat duduk tambahan ini boleh dilipat seperti biasa untuk dijadikan sebagai konsol tengah bagi memuatkan perehat tangan dan ruang meletak dua botol minuman.
 


Dari segi kuasa, Defender 2020 ditawarkan dalam dua trenkuasa, bermula dengan enjin petrol empat silinder sebaris berkuasa turbo (varian P300) yang mampu menjana 296 hp dan kuasa pecutan sepantas 8.1 saat (0-100 km/j).

Manakala varian P400 pula hadir dengan enjin mild-hybrid enam silinder sebaris dan bantuan turbo berkembar yang menghasilkan 395 kuasa kuda dan 550 Nm daya kilas. 

Varian P400 mampu memecut sepantas 6.1 saat dari 0-100 km/j!

Kedua-dua varian petrol ini dipadankan dengan transmisi ZF lapan nisbah kelajuan dan transfer box kelajuan berkembar. 

Manakala pasaran Eropah dan pasaran yang lain bakal menerima varian enjin diesel berkapasiti 2.0 liter dengan dua talaan berbeza iaitu: 

  • 197 hp (D200)
  • 237 hp (D240)
     


Dari segi pemanduan, Land Rover Defender 2020 menawarkan Configurable Terrain Response, sebuah sistem yang membolehkan pemandu menetapkan konfigurasi pacuan kenderaan bersesuaian dengan keadaan jalan semasa.

Antara ciri off-road yang disekalikan termasuklah Center Slip Limited Center, Rear Slip Limited, Wade Sensing, Land Rover All-Terrain Progress Control dan Clear Ground View.

Untuk memberikan lebih kebebasan, Defender juga hadir dengan tiga tetapan berbeza untuk kawalan pendikit, respons transmisi, input stereng dan kawalan cengkaman. 

Keselamatan pemanduan juga tidak dilupakan apabila Defender lengkap dengan ciri seperti Kawalan Pemanduan Adaptif, Pemantauan Pra-Pelanggaran Belakang, Pemantauan Trafik Belakang, Pemantauan Arah Keluar, Brek Kecemasan, Bantuan Kekal Laluan, Sistem Pengesan Papan Tanda Trafik, Sistem Pemantauan Keadaan Pemandu dan Bantuan Parkir. 
 


Land Rover Defender akan ditawarkan dalam enam trim berbeza, iaitu Defender, Defender S, Defender SE, Defender HSE, Defender X dan Defender First Edition.

Harga jualan bermula dari $49,900 (RM208,116) di Amerika Syarikat (varian Defender 110 P300) dan £45,240 (RM233,180) untuk pasaran UK (varian Defender 110 D200).

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun, ia tidak pernah menghalang salah sebuah penala BMW, Alpina untuk memperkenalkan sebuah…
Berita Global
Dan kini, tiba masanya untuk kita mengetahui julat harga yang bakal diberikan kepada para pembeli…
Berita Global
Jenama yang menggunakan huruf H italik, Hyundai mengambil langkah yang sama dengan membawakan…