Jenama yang menggunakan huruf H italik, Hyundai mengambil langkah yang sama dengan membawakan sebuah model konsep yang dinamakan sebagai 45 Concept.
Pengenalan Hyundai 45 Concept ini dikatakan sangat penting dalam menunjukkan kepada umum arah tuju dan masa hadapan rekaan bagi model produksi EV akan datang bagi Hyundai.
Nama 45 yang dipilih bukan sebarangan, kerana Hyundai sebenarnya membawa kita ke 45 tahun yang lalu di mana Hyundai buat kali pertamanya memperkenalkan model Pony Coupe Concept pada tahun 1974.
Persamaan antara kedua-dua model ini adalah gril radiator yang tipis serta rekaan lampu hadapan yang digelar sebagai 'kinetic cube lamp' oleh Hyundai.
Nama '45 Concept' ini juga membawa maksud sudut depan dan belakang 45 darjah yang membentuk sebuah silhouette berbentuk berlian, manakala reka bentuk keseluruhan hatchback EV ini diinspirasikan daripada pesawat era 1920-an.
Menurut Hyundai, apa yang dipamerkan menerusi model 45 Concept ini merupakan pra-tonton kepada ciri teknologi yang akan dimuatkan pada kenderaan produksi mereka akan datang, termasuklah sistem Camera Monitoring.
Sistem yang disebutkan diatas merupakan sistem kamera sisi yang dilengkapi dengan ciri pembersihan automatik yang mampu mengelakkan sebarang kotoran daripada menghalang kamera memaparkan imej masa sebenar.
Sementara itu, ruang dalaman pula tidak menampilkan bilangan skrin yang terlampau banyak, sebaliknya ia digantikan dengan penggunaan antaramuka jenis projektor yang memancarkan paparan infotainmen ke atas papan pemuka.
Hyundai turut melancarkan strategi Style Set Free di mana pengguna boleh menetapkan reka bentuk dan trim dalaman mengikut kesesuaian serta berdasarkan reka bentuk daripada dunia perabot.
Sistem pemanduan autonomi pula membenarkan kedua-dua tempat duduk hadapan diubah kedudukannya supaya boleh berinteraksi bersama penumpang yang lain di bahagian belakang.