
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Hyundai memenangi pelbagai kategori utama. Tiga model Hyundai yang berjaya merangkul gelaran ialah:
-
IONIQ 5 – Best Electric SUV
-
IONIQ 6 – Best Electric Car
-
Tucson Hybrid – Best Hybrid SUV
Anugerah ini diberikan kepada model-model elektrifikasi terbaik dalam kategori masing-masing selepas penilaian terhadap lebih 100 kenderaan merentasi 10 kategori.

“Hyundai komited terhadap teknologi pemanduan mesra alam seiring dengan misi kami ‘Progress for Humanity’,” kata Ricky Lao, Pengarah Perancangan Produk, Hyundai Motor North America. “Kemenangan berturut-turut ini menyerlahkan kekuatan kejuruteraan dan inovasi kami.”
Alex Kwanten, Pengarang Urusan Autos di U.S. News & World Report pula berkata, “Anugerah ini bukan sekadar tentang kecekapan, tetapi juga keseronokan dimiliki dan dipandu. IONIQ 5 dan IONIQ 6 menggabungkan jarak pemanduan dunia sebenar yang mengagumkan, keupayaan pengecasan pantas, ciri premium dan rekaan unik. Tucson pula menawarkan ruang, kecekapan bahan api dan kemudahan penggunaan yang sukar ditandingi.”
Untuk memilih pemenang bagi setiap kategori, U.S. News menilai 115 model hibrid, plug-in hybrid dan kenderaan elektrik dari pelbagai segmen termasuk kereta mewah, mampu milik, SUV dan trak. Penilaian dibuat berdasarkan data EPA (Environmental Protection Agency) tentang penjimatan bahan api dan jarak pemanduan, harga jualan serta konsensus ulasan media automotif. Pemenang dipilih berdasarkan gabungan terbaik dari aspek kualiti, nilai dan kecekapan.
Sejak 2007, U.S. News Best Cars telah menerbitkan ulasan dan penarafan melibatkan hampir kesemua model kenderaan baharu yang dijual di Amerika Syarikat. Mereka turut mengeluarkan pelbagai anugerah tahunan seperti Best Vehicle Brands, Best Cars for the Money dan Best Cars for Families. Laman ini menjadi panduan penting bagi pengguna yang sedang meneliti dan membeli kenderaan, termasuk program U.S. News Best Price.