Hyundai UK digesa tarik balik iklan mengelirukan berkenaan kereta hidrogen

oleh Mohamad Hanif|
Pihak berkuasa UK mengarahkan Hyundai Motor supaya menarik balik iklan yang didakwa boleh mengelirukan pelanggan mengenai kelebihan yang ada pada kenderaan sel bahan api hidrogen mereka, iaitu Hyundai Nexo.

Menurut badan Advertising Standards Authority, frasa 'purifies the air as it goes' (mensucikan udara semasa ia bergerak) yang digunakan itu boleh disalahertikan oleh pengguna sebagai kenderaan yang tidak menghasilkan sebarang impak kepada alam sekitar, membuang segala kekotoran dari udara sepanjang ia dipandu dan tiada sebarang pencemaran daripada pemanduannya kekal di udara.

Walaupun Hyundai telah memberikan alasan penggunaan frasa itu adalah berdasarkan kepada ciri sistem penapisan udara yang mampu menapis gas dan habuk halus, pihak berkuasa menegaskan promosi tersebut tidak sepatutnya wujud.

Ini kerana walaupun Hyundai Nexo tidak melepaskan sebarang emisi gas seperti kereta konvensional, ia masih lagi menghasilkan partikel-partikel ke udara kesan daripada penggunaan tayar dan brek.

Menurut Air Quality Expert Group, partikel yang dilepaskan oleh komponen brek dan tayar merupakan sebahagian daripada pencemaran partikel yang berpunca daripada pengangkutan darat, walaupun ianya datang dari kenderaan elektrik atau kenderaan sel bahan api hidrogen.

Menjelang tahun 2030, UK bakal menghentikan penjualan kenderaan petrol dan diesel konvensional, manakala penjualan kenderaan elektrik sepenuh masa akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 2035.

Sumber: Automotive News Europe

Berita Berkenaan

Berita Global
Dengan penguasaan sebanyak 80 peratus pegangan, Hyundai kini merupakan pemilik ketiga syarikat…
Berita Global
Kilang tersebut merupakan fasiliti produksi sel bahan api pertama Hyundai yang terletak di luar…
Berita Global
Namun, laporan terkini daripada E-Daily menyebut Hyundai Motor Group telah menerima cadangan…