
Dua segmen tersebut ditawarkan pada harga kompetitif dan pilihan kepada pengguna yang tidak mahu membayar sejumlah cukai kepada kerajaan.
Satu sebab utama sesebuah kerajaan mahu aktiviti penuh dijalankan di dalam negara ialah limpahan ekonomi kepada rakyat.
Contoh mudah, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan sekiranya kenderaan dipasang di Tanjung Malim, Rawang, Pekan berbanding diimport terus dari luar.
Satu lagi contoh, jurutera yang merekabentuk cagak enjin di luar negara tidak membeli air kelapa dan pisang goreng di depan kilang di Kulim.

Amerika Syarikat begitu menekankan aspek pelaburan di dalam negara dan boleh dilihat melalui laporan terbaru ini.
Hyundai Motor America (Hyundai) termasuk jenama mewah Genesis dan Pusat Penyelidikan Automotif (CAR) telah mengeluarkan sebuah laporan pada 13 September.
Laporan tersebut memperincikan sumbangan Hyundai kepada ekonomi Amerika Syarikat termasuk ulasan mendalam impak Hyundai di tujuh buah negeri.
Secara keseluruhannya, operasi automotif Hyundai dan 835 pengedar bebas telah menyumbang 190,000 pekerjaan dan AS$20.1 bilion (RM94.09b) pada tahun 2021 sahaja.

Sejak memasuki pasaran Amerika Syarikat pada 1986, Hyundai telah menjadi sebahagian daripada ekonomi dengan meningkatkan ekonomi setempat.
Pada hari ini, Hyundai Motor Group yang terdiri daripada Hyundai, Kia dan Genesis berada di kedudukan ketiga terlaris dari segi jualan peringkat dunia.
Berikut beberapa isi penting dari laporan:
- Hyundai dan pengedar bebas telah menyumbang AS$20.1 bilion di dalam pendapatan persendirian kepada ekonomi negara termasuk AS$3 bilion di dalam sumbangan kebajikan dan AS$2.8 bilion di dalam cukai negeri pada 2021
- Hyundai dan rangkaian pengedar bebas telah menggajikan lebih 60,000 individu secara langsung dan hampir 130,000 pekerjaan tambahan diwujudkan secara tidak langsung
- Bagi setiap pekerjaan baharu yang diwujudkan Hyundai, 7.3 pekerjaan tambahan diperkenal di dalam ekonomi Amerika Syarikat dan setiap pekerja baharu yang dilantik pengedar bebas mewujudkan 1.5 pekerjaan baharu di tempat lain
- Pelaburan besar Hyundai pada 2022 dengan jumlah lebih AS$10.6 bilion bagi membina kemudahan pengeluaran baharu untuk EV di Georgia dan Alabama akan mewujudkan lebih 13,500 peluang pekerjaan baharu dan merangsang 49,300 pekerjaan tambahan di dalam ekonomi setempat
- 43 peratus daripada 724,265 unit jualan kenderaan Hyundai pada 2022 dibuat di Amerika Syarikat susulan pelaburan modal baharu dengan jumlah lebih AS$3.2 bilion pada 2021
- Di Alabama, California dan Georgia yang menerima 97 peratus pelaburan baharu pada 2021, Hyundai dan pengedar bebas telah mewujudkan atau menyumbang 22,200, 19,200 dan 9,600 pekerjaan serta menjana AS$3.06 billion, AS$2.36 billion dan AS$868 untuk setiap negeri tersebut
Selari dengan impak Hyundai pada ekonomi Amerika Syarikat, program kebajikan Hyundai dan Genesis juga turut berkembang.
Ditubuhkan pada 1998, Hyundai Hope On Wheels (HHOW) bersama rangkaian pengedar dan para pelanggannya telah menyumbang lebih AS$225 juta.
Sebanyak AS$25 juta telah disumbang pada 2023 bagi menyokong 1,300 program barah pediaktrik di lebih 175 buah institusi perubatan.
Genesis Inspiration Fund pula telah menyumbang sebanyak AS$8 juta sejak 2018 kepada organisasi yang menghubungkan remaja dengan seni.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
