Jika versi van penumpang dilengkapi dengan elemen-elemen kemewahan, kapal angkasa darat versi van panel ini masih lagi mengekalkan rupa paras yang lebih kurang serupa, namun dengan penampilan rim kompang bersaiz 17 inci dan ketiadaan tingkap kaca di bahagian belakang.
Staria Load boleh didapati dalam versi dua tempat duduk, atau konfigurasi sehingga lima orang pada satu-satu masa dengan opsyen pintu belakang standard atau versi pintu berkembar yang akan dijual pada suku keempat tahun ini.
Dari segi kuasa, Hyundai Staria Load didatangkan dengan enjin diesel 2.2 liter yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dengan angka ouput setinggi 174 kuasa kuda dan 430 Nm yang memacu roda hadapan.
Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah sistem kemasukan tanpa kunci, lampu utama automatik, skrin kluster Supervision 4.2 inci, sistem infotainmen lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, serta slot pengecasan peranti pintar nirwayar Qi.
Menurut Hyundai, Staria Load menawarkan ruang kargo sebesar 4,935 liter, jauh lebih besar berbanding model iLoad (4,426 liter), serta mampu memuatkan sehingga tiga palet Euro dengan mudah.
Dari segi keselamatan, van panel Hyundai Staria Load ini menampilkan tujuh beg udara, brek parkir elektronik, serta ciri Hyundai SmartSense yang merangkumi komponen keselamatan seperti Amaran Tumpuan Pemanduan (DAW), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA-JT), Bantuan Had Kelajuan Pintar, Bantuan Kekal Laluan, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, Amaran Keluar Selamat (SEW), Amaran Lintasan Trafik Belakang, serta Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta.
Harga jualan bermula dari AUD$45,740 (RM138,882) untuk versi Staria Load Van, atau AUD$48,240 (RM146,473) untuk versi Staria Load Crew Van.