Hyundai Staria rasmi dilancar di Thailand - versi 11 tempat duduk, bermula dari RM222k

oleh Mohamad Hanif|
Hyundai secara rasmi melancarkan MPV baharu Staria di pasaran Thailand bagi menggantikan peranan yang ditinggalkan oleh model Starex (atau Hyundai H-1).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Untuk pasaran negara jiran tersebut, Hyundai hanya menawarkan versi 11 tempat duduk sahaja, serta dua varian boleh dipilih, iaitu varian S dan varian SEL.

Hyundai Staria hanya mendapat satu pilihan enjin sahaja, iaitu enjin 2.2 liter diesel turbo yang menghasilkan 177 PS dan 431 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

 


Dari segi penawaran, Hyundai Staria dilengkapi dengan pelbagai ciri moden seperti lampu utama LED, jalur lampu nyalaan siang LED, gril hadapan rekaan penuh, serta unit lampu belakang menegak.

Untuk varian asas, Hyundai Staria didatangkan dengan rim bersaiz 17 inci, diikuti dengan rim bersaiz 18 inci untuk varian SEL dengan kemasan dua tona.

Peralatan standard yang dimuatkan termasuklah skrin infotainmen bersaiz 8 inci yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, namun perbezaan terdapat pada paparan kluster di mana varian S mendapat skrin berbilang info bersaiz 4.2 inci, sementara varian SEL mendapat skrin digital penuh 10.25 inci.

 


Selain daripada itu, antara ciri standard lain yang dimuatkan termasuklah sistem kemasukan tanpa kunci, butang pandu mula, sistem pendingin hawa automatik, upholsteri fabrik (kulit untuk varian SEL), tirai tingkap belakang, dan tujuh slot pengecasan USB.

Untuk varian SEL, Hyundai menambah tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dengan 12 larasan, cermin pandang belakang auto-kelam, sistem pencahayaan kabin LED, serta kamera 360 darjah.

Ciri keselamatan standard yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, kawalan kestabilan serta cagak ISOFIX.

Sementara varian SEL menambah ciri keselamatan SmartSense yang merangkumi brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan laluan, sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pembukaan pintu dan amaran penumpang belakang, tidak ketinggalan sistem pemantauan tekanan tayar.

 


Harga jualan bermula dari THB 1,729,000 (RM222,100) untuk varian S, sehinggalah THB 1,999,000 (RM256,800) untuk varian SEL.