Hyundai Staria 2022 - MPV tujuh tempat duduk premium, harga dari RM358,888

oleh Mohamad Hanif|
Hyundai-Sime Darby Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model MPV baharu Hyundai Staria 2022 sebagai satu pilihan yang menarik bagi segmen MPV premium tujuh tempat duduk.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Hadir dalam varian tunggal Premium, Hyundai Staria dikuasakan oleh nadi 2.2 liter diesel turbo CRDi yang mampu menjana 177 PS dan 431 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik dan sistem pacuan roda depan.

Sebagai makluman, Starex yang terdahulu menggunakan sistem pacuan roda belakang.
 

Staria


Dari segi rupa, ia membawakan rekaan yang agak futuristik, mengambil inspirasi daripada kapal angkasa lepas, ditambah dengan rekaan tingkap sisi yang besar.

Unit lampu hadapan menggunakan lampu LED sementara bahagian belakang pula unit lampu yang memanjang itu menggunakan rekaan lampu Parametric Pixel yang menyamai model Ioniq 5.

Hyundai Staria membawakan ukuran sepanjang 5,253 mm, lebar 1,997 mm dan tinggi 1,990 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,273 mm, membolehkan bahagian belakang menyediakan ruang sebesar 5,000 liter.
 

Staria


Untuk ruang kabin, Hyundai Staria membawakan skrin paparan digital 10.25 inci di hadapan pemandu, skrin infotainmen lapan inci yang menyokong USB, Android Auto dan Apple CarPlay nirwayar, sistem audio premium Bose, serta sistem pencahayaan ambien.

Tempat duduk baris kedua 'Premium Relaxation Seats' yang boleh dibaringkan sehingga 120 darjah, dan tidak dilupakan corong pendingin hawa baris kedua dan ketiga dengan unit kawalan zon tunggal yang berasingan boleh didapati pada bahagian siling tempat duduk kedua.
 

Staria


Staria juga turut menyediakan beberapa slot pengecasan di bahagian hadapan, baris kedua dan ketiga, serta slot pengecasan peranti pintar nirwayar pada bahagian papan pemuka.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, bantuan pengelakan pelanggaran depan, titik buta dan juga lintasan trafik belakang, bantuan pengekalan laluan (LKA), bantuan mengikut laluan (LFA),  kamera keliling, kawalan jelajah pintar, bantuan suluhan tinggi, bantuan keluar selamat, amaran tumpuan pemandu, amaran penumpang belakang, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
 

Staria


Hyundai Staria 2022 merupakan unit CBU yang diimport dari Korea Selatan, dan harga jualan di pasaran tempatan bermula dari RM358,888 termasuk pengecualian cukai SST, jaminan dua tahun atau 50,000 km (yang mana tiba dahulu), atau RM368,888 dengan jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan 300,000 km*, serta pakej servis percuma tiga tahun atau 50,000 km*.

*yang mana tiba dahulu

 

GALERI: HYUNDAI STARIA PREMIUM 2022 (MALAYSIA)