Hyundai Stargazer diperkenal di Indonesia, harga mula RM72k!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hyundai Stargazer
Hyundai Stargazer
Fokus Hyundai pada pasaran Indonesia diperkukuhkan lagi dengan pelancaran MPV Stargazer. Seperkara menarik, Stargazer bukan setakat sebuah lagi produk tetapi kenderaan yang dibina sarat dengan nilai negara jiran itu.

Stargazer direka bergaya dengan elemen futuristik terutama sekali pada bahagian lampu depan dan belakang.

Indonesia merupakan sebuah negara dengan cuaca tropikal dan mempunyai pelbagai jenis jalan selain kesesakan jalan raya dan juga jarak pemanduan yang jauh.

Dengan itu, pengguna di Indonesia memerlukan sebuah kereta keluarga yang dapat memberikan keselesaan dalam semua keadaan untuk kegunaan harian mereka.

Hyundai dari peringkat konsep reka bentuk lagi sudah memasukkan persekitaran Indonesia sebagai faktor pembangunan Stargazer selain teknologi dan ciri-ciri keselamatan untuk menjadikannya sebuah MPV unggul.

Bak kata Hyundai sebagai bintang baru keluarga.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

Reka bentuk sarat dengan falsafah

 

Hyundai Stargazer

 

Hyundai menggunakan konsep Sleek One Box dan One Curve Design bagi mengoptimumkan ketinggian kabin. Apa yang dimaksudkan itu lebih jelas dilihat dari sisi Stargazer.

Tidak nampak canggung dan dibuat dengan bergaya.

Bahagian depan sarat dengan falsafah. Sebagai contoh lampu DRL melintang adalah identiti Stargazer dan lambang kedudukan Indonesia yang terletak di katulistiwa atau ekuator.

Lampu belakang dengan nyalaan H pula menekankan Stargazer sebagai produk Hyundai.

Masih lagi dengan falsafah, bentuk lampu H yang bersimetri melambangkan keseimbangan, perpaduan dan keharmonian yang menghubungkan Indonesia dari Timur hingga ke Barat.

Dari sini memang jelas Hyundai benar-benar mempelajari tentang Indonesia dan bukan sekadar sebuah lagi produk jualan.

Praktikaliti

 

Hyundai Stargazer

 

Dari segi saiz, Stargazer berukuran 4,460 mm panjang dengan jarak roda 2,780 mm, lebar 1,780 mm dan tinggi 1,695 mm.

Sebagai perbandingan, Toyota Veloz mempunyai ukuran panjang 4,475 mm dengan jarak roda 2,750 mm, lebar 1,750 mm dan tinggi 1,700 mm.

Untuk kapasiti pula, ada enam dan tujuh tempat duduk dengan penawaran Kerusi Kapten pada kos tambahan Rp 1 juta untuk tiga varian teratas.

Kerusi baris kedua itu lengkap dengan perehat lengan dan boleh dilaras ke depan, belakang, tegak dan rebah.

Penumpang di baris ketiga pula mudah untuk bergerak susulan ruang di antara kerusi baris kedua.

Selain itu, Hyundai menyediakan sejumlah ruang simpan dan kelengkapan boleh guna. Ada meja piknik, pemegang cawan, poket tambahan dan sebagainya.

Rangkaian kuasa

Menggerakkan Stargazer ialah enjin 1.5 liter MPI berkuasa 115 ps pada 6,300 rpm dan daya kilas 144 Nm pada 4,500 rpm. Enjin ini sama seperti Hyundai Creta.

Transmisi pula ada dua pilihan iaitu manual enam kelajuan dan CVT IVT (Intelligent Variable Transmission).

Sekali lagi untuk perbandingan, Toyota Veloz dilengkapi enjin 1.5 liter 2NR-VE berkuasa 106 ps pada 6,000 rpm dan daya kilas 137 Nm pada 4,200 rpm.

Veloz boleh disesuaikan dengan transmisi manual lima kelajuan dan CVT.

Hyundai Stargazer

Kelengkapan keselamatan

Model asas Stargazer Active dilengkapi dua beg udara. Varian satu tangga atas Stargazer Style ditambah Kawalan Penstabilan Elektronik dan Kawalan Mula Daki (HSA).

Varian ketiga iaitu Stargazer Trend ditambah dengan Amaran Jarak Parkir.

Kemuncak pakej adalah pada varian tertinggi Stargazer Prime dengan enam beg udara, Bantuan Pelanggaran Berdepan, Amaran Perhatian Pemandu dan Bantuan Lampu Puncak.

Turut dilengkapi, Bantuan Pengekalan Lorong, Bantuan Mengikuti Lorong, Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta dan Bantuan Mengelak Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang.

Hyundai Bluelink

Sesuai dengan perkembangan teknologi, Hyundai Bluelink membolehkan pengguna untuk mengetahui dan mengawal beberapa fungsi kereta melalui telefon pintar.

Di antara fungsinya ialah menghidup dan mematikan enjin, melaras suhu kabin, buka dan kunci pintu, buka dan padam lampu, membunyikan hon dan mengetahui lokasi kereta.

Teknologi ini juga membolehkan pemandu untuk mengakses fungsi Makluman Pencurian dan Penjejakan Kereta dan Imobilasi Kenderaan Curi

Turut disediakan ialah Makluman Pelanggaran Automatik (ACN), Bantuan Kecemasan SOS, Bantuan Tepi Jalan Raya dan sebagainya.

Varian dan harga

 

Hyundai Stargazer

 

Ada empat varian Hyundai Stargazer dengan dua pilihan transmisi seperti berikut:

  • Stargazer Active MT: IDR 243,300,000 (RM72,198)
  • Stargazer Active IVT: IDR 255,900,000 (RM75,937)
  • Stargazer Trend MT: IDR 263,300,000 (RM78,133)
  • Stargazer Trend IVT: IDR 275,900,000 (RM81,872)
  • Stargazer Style: IDR 296,300,000 (RM87,925)
  • Stargazer Prime: IDR 307,100,000 (RM91,130)

Ke mana destinasi Hyundai Stargazer seterusnya? Adakah ke negara kita?

Masih awal untuk pengesahan dan pakej reka bentuk, ruang dan harga Stargazer memang menarik!

Kredit foto: Hyundai

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Hyundai mengumumkan projek itu semasa program Design Talk di Seoul, Korea Selatan. Turut serta…
Informasi
Sebagai seorang pemilik EV, jujur saya katakan ia tidak boleh menggantikan terus kenderaan utama…
Berita Global
Ia bakal dilancarkan secara rasmi di UK dimulakan dengan kehadiran model khas "First Edition" yang…