Hyundai SEVEN Concept - previu SUV Ioniq 7 dengan tiga baris tempat duduk

oleh Mohamad Hanif|
Bertempat di LA Auto Show, Hyundai memperlihatkan model kenderaan utiliti sukan elektrik (SUEV) SEVEN Concept yang turut bertindak sebagai gambaran versi produksi Ioniq 7 pada masa akan datang.

Dibangunkan menggunakan pelantar E-GMP (Electric-Global Modular Platform), SEVEN Concept menampilkan trenkuasa elektrik dengan jarak pemanduan melebihi 483 km, serta sistem pengecasan 350 kW yang membenarkan pengecasan 10-80 peratus dalam masa 20 minit sahaja.
 

SEVEN


Selain daripada trenkuasa, SEVEN Concept menekankan ruang kabin yang amat luas, terima kasih kepada jarak antara roda sepanjang 3.2 meter dan susunan tempat duduk yang tidak konvensional.

Ini kerana Hyundai SEVEN Concept menggunakan tempat duduk yang boleh berputar, serta sudut berkusyen yang menyamai ruang rehat tetamu di rumah.

Rekaan konsol berbentuk pulau itu direka untuk menempatkan kemudahan seperti ruang kasut atau peti sejuk mini, sementara rekaan bumbung pula menampilkan paparan OLED yang boleh berubah mengikut keperluan.
 

SEVEN


Ketiadaan sebarang roda stereng menandakan SEVEN Concept merupakan sebuah kenderaan swapandu, dan ia menjadikan rekaan kokpit yang jauh lebih kompak dan kecil.

Tidak ketinggalan, penggunaan bahan-bahan yang lebih mesra alam seperti cat bio, plaster mineral, kayu buluh, resin bio serta bahagian-bahagian lain yang diperbuat daripada bahan kitar semula atau yang boleh diperbaharui semula.

Rekaan luar SUV SEVEN Concept ini membawakan elemen tersendiri keluarga Ioniq, iaitu lampu Parametric Pixel bagi menjadikannya lebih mudah untuk dikenali umum.
 

SEVEN


Menurut Hyundai, model produksi sebenar SEVEN Concept (Ioniq 7) dijangka tiba pada tahun 2024, dengan elemen futuristik yang dikurangkan dan dengan saiz yang hampir serupa dengan model SUV Palisade sedia ada.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menerusi acara Los Angeles Auto Show 2021, pengeluar automotif dari Vietnam yang lebih muda…