Hyundai Santa Fe 2025 dilancar di Korea, spesifikasi dipertingkat, rekaan sama

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hyundai Santa Fe 2025 Korea
Hyundai Santa Fe 2025 Korea
Hyundai Santa Fe generasi kelima diperkenal secara rasmi pada Ogos 2023.

Reka bentuk yang dahulunya berbucu lembut dan permukaan badan beralun bertukar menjadi sebuah objek bersegi dan keras.

Reka bentuk berkotak dan garis melintang diteruskan pada bahagian dalam.

Walaupun nampak besar dan perkasa, ukuran panjang Santa Fe masih belum mencecah lima meter atau 4,830 milimeter (mm).

Dari segi penjualan pula, Santa Fe belum ditawarkan secara rasmi di negara Asean kecuali Filipina dan Singapura.

Setahun selepas pelancarannya di Korea, Hyundai memperkenalkan Santa Fe 2025 dan jualan dimulakan serentak pada 27 Ogos.

Masih lagi produk panas, perubahan tidak melibatkan rekaan dan Hyundai meningkatkan spesifikasi dan memperkenalkan pakej pilihan baharu.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
Hyundai Santa Fe 2025 Korea

 

Teknologi SmartSense untuk Santa Fe Prestige dan ke atas:

  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Depan (Lintasan Kenderaan dan Kenderaan Dari Depan Semasa Memotong, Kenderaan Yang Menghampiri Dari Sisi dan Bantuan Pengelakan Stereng)
  • Bantuan Pemanduan Lebuh Raya 2
  • Bantuan Pengelakan Titik Buta Belakang
  • Kawalan Pemanduan Pintar Berasaskan Navigasi 

Varian baharu Prestige Plus diasaskan dari varian Prestige sedia ada:

  • Monitor pandangan sekeliling
  • Monitor sisi belakang
  • Amaran jarak parkir sisi
  • Bantuan parkir pintar kawalan jauh
  • Bantuan pengelakan pelanggaran parkir belakang
  • Papar pandu (HUD) sebagai ciri asas

Pakej Best Selection baharu untuk varian Exclusive berdasarkan kelengkapan yang paling digemari pelanggan:

  • Papar pandu
  • Paparan panoramik melengkung
  • Skrin LCD 12.3 inci berwarna
  • Kunci Digital 2
  • Dua pengecasan telefon tanpa wayar
Hyundai Santa Fe 2025 Korea

 

Tidak hanya meningkatkan spesfikasi, Hyundai juga menawarkan harga berpatutan untuk Prestige Plus dan Best Selection.

Pelanggan boleh berjimat sebanyak 360,000 won (RM1,178) dan 340,000 (RM1,112) jika dibandingkan dengan pemilihan secara berasingan.

Walaupun rekaan tidak berubah, Hyundai menambah rim 20 inci untuk dipilih pelanggan Santa Fe Hybrid 2WD.

Antara muka pengguna (UI) juga dipertingkat supaya lebih mesra pengguna dengan mengasingkan butang pemanasan dan pengudaraan kerusi pada paparan penyaman udara.

Turut dilengkapi pemadam kebakaran untuk keselamatan penumpang.

Santa Fe dibekal enjin 2.5 liter turbo Smartstream dan dipadan bersama kotak gear klac berkembar lapan kelajuan.

Enjin menghasilkan 281 ps pada 5,800 rpm dan tork 422Nm dari 1,700 sehingga 4,000 rpm.

Satu lagi pilihan ialah 1.6 liter turbo Smartstream hibrid dengan kuasa 180 ps pada 5,500 rpm dan tork 265Nm pada 1,500 rpm.

Motor elektrik memiliki kuasa 47.7 kW (65 ps) dan tork maksimum 264Nm. Kuasa keseluruhan sistem ialah 235 ps pada 5,500 rpm.

Kedua-dua jenis enjin ditawarkan bersama pacuan dua roda dan semua roda (AWD).

Harga untuk Santa Fe 2.5 turbo bermula dari 35.46 juta won (RM116,057) sehingga 44.42 juta won (RM145,396).

Model hibrid pula dari 38.8 juta won (RM127,000) sehingga 51.05 juta won (RM167,097).

Penulis: Muhammad Md Tajudin