Hyundai Palisade 2021 masuk pasaran Indonesia tahun depan, bermula dari RM223 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Pengedar rasmi kenderaan jenama Hyundai di Indonesia, PT Hyundai Motors Indonesia baru-baru ini membuka tempahan untuk SUV tiga baris tempat duduk Hyundai Palisade.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebagai sebuah SUV dengan citarasa Amerika, ia merupakan model SUV paling besar pernah dijual oleh Hyundai Indonesia, dengan ukuran sepanjang 4,980 mm, lebar 1,975 mm dan tinggi 1,750 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.

Mengikuti trend semasa, Hyundai Palisade membawakan rekaan lampu terpisah, di mana lampu nyalaan siang LED direka menegak yang menonjolkan penampilan yang tersendiri, diikuti dengan lampu LED belakang yang turut direka menegak.

 


Bergantung kepada varian, Hyundai Palisade didatangkan dengan rim aloi bersaiz 18 inci dan 20 inci (dua varian teratas).

Untuk menjadikan ruang kabin tersedia lapang nampak lebih luas, Palisade turut dipasang dengan ciri cermin suria berkembar, membenarkan lebih banyak cahaya menembusi ruang tersebut.

 


Ruang kabin Hyundai Palisade dilengkapi dengan kemasan yang premium, sesuai dengan statusnya sebagai SUV mewah dengan kehadiran balutan kulit Nappa pada tempat duduk, aksen kayu pada panel pintu, serta tempat duduk baris kedua daripada jenis kapten.

Varian asas mendapat ciri seperti roda stereng dengan butang kawalan fungsi, skrin TFT berbilang informasi 3.5 inci di hadapan, skrin infotainmen 8 inci, sistem pendingin hawa automatik tiga zon, dan pengecasan peranti pintar nirwayar, manakala varian tertinggi pula mendapat kelengkapan tambahan skrin LCD multi-info tujuh inci, tempat duduk baris kedua berventilasi dan ciri memori untuk tempat duduk hadapan.

 


Ruang kargo di belakang tempat duduk baris ketiga mampu memuatkan sehingga 595 liter dan boleh diperbesarkan sehingga 2,464 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat ke bawah.

Untuk menggerakkan SUV besar ini, Hyundai mendatangkan Palisade dengan nadi diesel turbo CRDi bersesaran 2,200 cc e-VGT yang mampu menjana kuasa setinggi 200 PS dan daya kilas 440 Nmm dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan dengan penukaran shift-by-wire.

Untuk memastikan kuasa yang optimum, terdapat empat mod pemanduan iaitu Comfort, Eco, Sport dan Smart, serta terdapat ciri Multi-Terrain Control yang menambah mod pemanduan Snow, Mud dan Sand.

 


Dari segi keselamatan, Hyundai Palisade dilengkapi dengan enam beg udara, amaran pelanggaran titik buta, amaran pelanggaran lintasan trafik belakang, Safe Exit System (pertama di dalam kelasnya), dan ciri amaran penumpang belakang.

Menurut laporan media negara jiran, harga jualan Hyundai Palisade bermula dari Rp 777 juta (RM223 ribu) sehingga Rp 1.078 billion (RM310 ribu) untuk varian tertinggi.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Sebelum ini kita sudah pun membaca bagaimana pesatnya pembangunan infrastruktur EV di pasaran…