Hyundai Motor Group bangunkan fasiliti penghasilan sistem sel bahan api di Guangzhou

oleh Mohamad Hanif|
Hyundai Motor Group hari ini mengumumkan mereka telah menandatangani perjanjian pelaburan dengan pemerintah Wilayah Guangdong bagi membangunkan sebuah kilang produksi sistem sel bahan api di Guangzhou, China.

Kilang tersebut merupakan fasiliti produksi sel bahan api pertama Hyundai yang terletak di luar Korea, dengan kapasiti awal penghasilan kira-kira 6,500 unit sistem sel bahan api dalam masa setahun.

Hyundai juga akan turut menghasilkan sistem sel bahan api yang telah terbukti yang digunakan pada SUV elektrik sel bahan api Hyundai NEXO di fasiliti tersebut.

Pembinaan fasiliti tersebut akan bermula pada bulan hadapan dan dijangka sipa menjelang separuh kedua tahun 2022.

Selain daripada itu, Hyundai Motor Group akan bekerjasama dengan syarikat China untuk menyertai projek perintis serta inisiatif kerajaan Guangdong berkaitan hidrogen, sekaligus membantu Hyundai memperoleh kelebihan di dalam industri hidrogen negara tersebut.

Ini adalah selaras dengan pengumuman pelan teknologi oleh China Society of Automotive Engineers pada Oktober lalu yang mencerminkan cita-cita China untuk memajukan ekonomi hidrogen serta mensasarkan 1 juta FCEV (kereta elektrik sel bahan api) di atas jalan raya menjelang 2035.

 


Hyundai telah pun lama berkecimpung di dalam pembangunan sistem sel bahan api, dengan pengenalan kenderaan elektrik FCEV yang diproduksi massa, Hyundai ix35 pada tahun 2013 diikuti dengan Hyundai NEXO pada tahun 2018.

Selain daripada itu, Hyundai juga telah berjaya menghantar tujuh unit pertama trak sel bahan api XCIENT kepada pelanggan di Switzerland pada lewat tahun 2020.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memajukan masyarakat emisi sifar, Hyundai baru-baru ini melancarkan jenama baharu HTWO bagi membantu mengukuhkan lagi keupayaan penyelidikan dan pembangunan, serta kerjasama merentas industri ekonomi tenaga hidrogen.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dibangunkan menggunakan pelantar E-GMP (Electric-Global Modular Platform), SEVEN Concept…
Berita Global
Menurut laporan daripada The Drive, mereka telah berjaya menemukan dokumen pendaftaran paten…
Berita Global
Menurut laporan terbaharu, Ineos juga sedang merancang untuk menguji Grenadier yang dilengkapi…