Hyundai Malaysia siar gambar acah model Kona - pelancaran dalam masa terdekat?

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa hari yang lalu, kami turut mendapat mesej daripada sebilangan pembaca yang mengesan kehadiran dua buah SUV - Hyundai Kona - tanpa sebarang pelekat samaran berdekatan dengan pusat pameran Hyundai di Ara Damansara.

Hal ini kemudian diperkuatkan lagi dengan teaser yang diterbitkan oleh Hyundai Malaysia (terima kasih rakan media Paultan) menerusi laman media sosial Facebook yang memberikan petunjuk pelancaran rasmi bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Walaupun tidak menunjukkan rupa luaran 'model baharu', bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia automotif pasti akan mengingati rupa dalaman kabin Hyundai Kona menerusi penampilan kemasan warna badan pada corong pendingin hawa, tuil gear dan butang pandu mula.

 


Hyundai Kona telah pun diperlihatkan buat kali pertama menerusi acara KL International Motor Show 2018, di mana pelan asalnya Hyundai Kona dijadualkan pelancarannya pada suku kedua tahun lalu.

Hyundai Kona bakal memberikan saingan secara terus kepada model SUV segmen B yang lain seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Toyota C-HR, serta model yang bakal dilancarkan kelak seperti Kia Seltos dan Proton X50.

Baca: Perang SUV segmen B Malaysia

Seperti yang dipamerkan dua tahun lalu, Hyundai Kona didatangkan dengan nadi 1.6 liter T-GDI Gamma yang menghasilkan 177 PS dan 265 Nm daya kilas yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

 


Yang mana masih ingat, Hyundai juga ada mempamerkan versi elektrik Hyundai KONA EV dengan pek bateri berkapasiti 64 kWh dan mampu menawarkan jarak operasi sejauh 482 km.

Output Hyundai Kona EV adalah sekitar 204 PS/395 Nm di mana pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam masa 7.6 saat.

Setakat ini tiada sebarang informasi lanjut berkenaan harga jualan, serta varian yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia, namun sudah pasti kehadiran Hyundai Kona mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada para pembeli dan penggemar SUV tempatan.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selain menerima kunci kereta baharu, 11 orang pelanggan pertama IONIQ 5 turut menerima keahlian…
Berita Domestik
Tempahan untuk model EV tersebut kini sudah pun dibuka dengan yuran tempahan serendah RM1,000…
Berita Domestik
Terbaharu, Hyundai dilaporkan telah pun membuka tempahan bagi model EV Hyundai Ioniq 5 berdasarkan…