Hyundai mahu guna cahaya ultra-ungu basmi virus dalam kabin

oleh Mohamad Hanif|
Melihatkan kepada peningkatan kadar jangkitan virus terutama disebabkan wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada ketika ini, saintis berusaha untuk mencari jalan bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Malah, dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh webmd, cahaya ultra-ungu dilihat sebagai salah satu cara berkesan bagi membunuh virus tanpa menyebabkan bahaya kepada manusia.

Melihatkan kepada peluang tersebut, Hyundai mahu mengeksploitasi idea penggunaan cahaya ultra-ungu ini untuk membersihkan bahagian dalaman kenderaan.

Menerusi lampu yang terpasang pada siling kenderaan, Hyundai mahu mengubah kegunaan lampu tersebut supaya memiliki keupayaan pensterilan yang boleh membersihkan permukaan tempat duduk, alas lantai, papan pemuka serta roda stereng.

Selain membersihkan, Hyundai juga sedang meneroka kemungkinan penggunaannnya bagi membunuh patogen udara (airborne pathogens).

Oleh kerana cahaya UV mampu memberikan kesan kepada kulit manusia, ciri ini dihadkan penggunaannya bila mana tiada sebarang penumpang yang hadir di dalam kereta.

Hyundai walaubagaimanapun tidak mendedahkan secara rasmi tempoh masa yang sesuai untuk pengenalan ciri ini pada kenderaan mereka.