Hyundai lancar Kona varian 1.6 Turbo, 1.6 Turbo N Line - bermula dari RM146,888

oleh Mohamad Hanif|
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini secara rasmi melancarkan varian baharu SUV segmen B Hyundai Kona iaitu Kona 1.6 Turbo dan varian premium 1.6 Turbo N Line.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Disifatkan sebagai SUV B-segmen yang paling berkuasa, kedua-dua model Kona  ini dikuasakan oleh enjin 1.6 liter turbo Smartstream G1.6 T-GDi yang menghasilkan 198 PS dan 265 Nm, dipadankan dengan transmisi Smartstream 7DCT generasi kedua.

 


Dari segi penampilan, Hyundai Kona 1.6 Turbo banyak berkongsi ciri yang sama didapati pada model Kona 2.0 Active, melainkan rim bersaiz 18 inci dengan rekaan baharu, kehadiran rak bumbung serta layangan warna dua tona yang khusus untuk varian ini sahaja.

Sementara model Kona 1.6 Turbo N Line pula menampilkan rekaan yang lebih agresif dan sporti, serta penggayaan warna badan penuh pada bahagian cladding plastik pada bampar dan arka roda.

 


Rongga kemasukan udara sisi yang lebih besar itu turut dibezakan dengan rekaan jeriji yang unik.

Secara keseluruhannya, terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Pulse Red dan Misty Jungle yang disertakan dengan layangan warna hitam pada bumbung dan  juga perumah cermin sisi.

 


Sementara ruang kabin juga masih mengekalkan susun atur rekaan yang terdapat pada Kona 2.0, seperti contoh skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infotainmen bersaiz lapan inci, sokongan sambungan Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay nirwayar, sistem pencahayaan ambien, serta kemasan aluminium pada pembesar suara dan corong pendingin hawa.

Kemasan upholsteri pula boleh didapati dalam kulit hitam/suede atau warna light beige untuk dipadankan pada panel pintu dan tempat duduk.

 


Antara ciri lain yang dimuatkan pada Kona N Line adalah tempat duduk hadapan yang didatangkan dengan ciri pemanas dan penyejukan, jahitan kontras benang merah, pedal logam, serta logo N pada tuil gear, roda stereng dan tempat duduk.

Harga jualan bermula dari RM146,888 untuk Kona 1.6 Turbo manakala Kona 1.6 Turbo N Line pula dijual pada harga RM156,888, di mana harga tersebut termasuk pengecualian cukai SST namun tidak termasuk insurans.

HSDM menawarkan jaminan sehingga lima tahun atau jarak perbatuan 300,000 km (yang mana terdahulu) serta pakej penyelenggaraan berkala percuma untuk tempoh tiga tahun atau 50,000 km.