Hyundai Kona Electric sah masuk Malaysia!

oleh Mohamad Hanif|
Kebelakangan ini, Hyundai-Sime Darby Motors giat memperkemaskini penawaran barisan model sedia ada, dimulakan dengan Kona yang cepat pula mendapat versi facelift, diikuti dengan model-model seperti Elantra serta SUV besar Palisade yang bakal masuk kelak.

Terbaharu, laporan daripada rakan media Paultan mengesahkan HSDM akan membawa masuk Hyundai Kona versi elektrik sepenuh masa menjelang suku keempat tahun ini.
 

Kona EV


Berdasarkan penawaran di pasaran global, Hyundai Kona Electric boleh didapati dengan motor elektrik tunggal 136 PS, atau output yang lebih berkuasa 204 PS dengan daya kilas 395 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat untuk versi yang lebih berkuasa.

Pek bateri pula ditawarkan dalam kapasiti 39.2 kWh yang membenarkan jarak pemanduan sejauh 305 km, sementara pek bateri yang lebih besar 64 kWh pula menawarkan operasi sejauh 484 km - kedua-dua mengikut data WLTP.
 

Kona EV


Hyundai Kona EV menyokong pengecasan pantas DC 50 kW di mana pengecasan 10 peratus hingga 80 peratus boleh diselesaikan dalam masa 48 minit untuk model 39.2 kWh, atau 64 minit untuk versi 64 kWh.

Anda boleh bezakan penampilan Hyundai Kona EV dengan penawaran Kona sedia ada, seperti rekaan hadapan yang kosong tanpa sebarang gril, di mana ia kini menempatkan slot pengecasan di bahagian tersebut.
 

Kona EV


Perincian lanjut seperti spesifikasi dan harga jualan bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi Hyundai Kona EV menjelang suku keempat tahun ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Berita ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran gambar intip yang berjaya diperoleh Adi Azri Ari…
Berita Domestik
Model-model seperti Elantra, Santa Fe, Grand Starex, Sonata dan juga Kona boleh didapati di Sime…
Berita Domestik
Menerusi program ini, ia menawarkan tempoh pajakan tiga hingga lima tahun dengan penjimatan yang…