Menurut laporan Autoblog, kedua-dua syarikat itu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan pesawat elektrik masa depan termasuk teknologi “flying car” dan sistem penerbangan mobiliti bandar.

Kerjasama ini menyatukan kepakaran Hyundai dalam teknologi EV serta pengeluaran besar-besaran, manakala Korea Aerospace Industries (KAI) pula akan menyumbang pengalaman luas dalam pembangunan pesawat dan aeroangkasa.
Bahagian mobiliti udara Hyundai yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Supernal akan mengetuai aspek reka bentuk serta kejuruteraan pesawat, sementara KAI bertanggungjawab terhadap pembangunan struktur pesawat (airframe).
Supernal merupakan subsidiari Hyundai yang ditubuhkan khusus untuk membangunkan teknologi Advanced Air Mobility (AAM), termasuk pesawat elektrik eVTOL (electric Vertical Take-Off and Landing) yang mampu berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter.
Syarikat itu sebelum ini pernah memperkenalkan konsep pesawat futuristik S-A1 dan S-A2 yang direka sebagai teksi udara elektrik untuk kegunaan bandar pada masa hadapan.
Selain itu, kerjasama terbaru Hyundai dan KAI turut melibatkan pembangunan rantaian bekalan, proses pensijilan penerbangan serta jaringan pelanggan global dalam usaha merealisasikan penggunaan komersial pesawat elektrik masa depan.
Sebelum Ini Program Flying Car Hyundai Hampir “Senyap”
Pengumuman terbaharu ini menarik perhatian kerana ia hadir hanya beberapa bulan selepas laporan mendakwa Supernal mengurangkan tenaga kerja sehingga kira-kira 80 peratus.
Situasi itu sebelum ini mencetuskan spekulasi bahawa Hyundai mungkin mula memperlahankan projek flying car bernilai AS$1.7 bilion susulan ketidaktentuan pasaran dan kurang keyakinan pelabur terhadap industri mobiliti udara bandar.

Namun begitu, perkembangan baharu ini menunjukkan Hyundai sebenarnya masih serius dalam sektor tersebut, cuma pendekatan mereka kini lebih realistik dan berorientasikan kerjasama industri jangka panjang.
Hyundai juga baru melantik pakar rotorcraft berpengalaman, Dr. Farhan Gandhi sebagai Ketua Pegawai Teknologi (CTO) baharu Supernal, sekali lagi mengukuhkan hala tuju syarikat itu dalam teknologi penerbangan menegak elektrik.
Kereta Terbang Semakin Hampir Jadi Realiti?
Walaupun konsep kereta terbang masih kedengaran seperti fiksyen sains, teknologi berkaitan mobiliti udara bandar kini semakin berkembang dengan pantas.
Beberapa kerajaan termasuk di Amerika Syarikat juga sudah mula membincangkan persediaan infrastruktur bagi menyokong sistem pengangkutan udara masa depan.
Malah, Gabenor Florida, Ron DeSantis sebelum ini pernah menyatakan minat untuk menyediakan negeri itu bagi menerima teknologi flying car pada masa akan datang.

Buat masa ini, Hyundai dilihat mengambil pendekatan lebih praktikal dengan berganding bersama syarikat aeroangkasa sebenar berbanding sekadar menghasilkan konsep futuristik semata-mata.