Antara yang menjadi fokus utama adalah pek bateri yang telah dinaiktaraf kepada 38.3 kWh menggantikan pek bateri 28 kWh pada model terdahulu.
Dengan pek bateri baharu, Hyundai Ioniq kini mampu bergerak sejauh 311 km mengikut kitaran data WLTP.
Meminjam sistem brek regeneratif dari Hyundai Kona Electric, Ioniq Electric kini mampu dioperasikan menggunakan sistem pemanduan pedal tunggal tanpa perlu menggunakan pedal brek.
Sistem Pembrekan Regeneratif Pintar ini pula membenarkan tahap pemulihan tenaga ditetapkan secara automatik bergantung kepada keadaan jalan dan situasi trafik.
Mod pemanduan pula turut menampilkan tambahan mod Eco+ kepada mod sedia ada Eco, Comfort dan Sport, di mana mod Eco+ ini membenarkan pemandu mengurangkan kadar penggunaan tenaga dan memanjangkan tempoh penyimpanan tenaga ketika saat kecemasan.
Selain daripada itu, Hyundai turut membekalkan pengecas standard 7.2 kW Type 2 AC bagi menggantikan pengecas 6.6 kW, di mana pengecas baharu ini mampu memberikan kapasiti bateri diisi mencecah 80 peratus dalam masa 54 minit menggunakan stesen pengecasan pantas 100 kW.
Manakala kuasa kuda dan daya kilas dari motor elektrik masih kekal pada angka 134 hp dan 295 Nm.
Sistem hiburan Hyundai Ioniq Electric kini menerima teknologi sambungan telematik, terima kasih kepada Hyundai Bluelink di mana pengguna boleh mengakses dan menukar tetapan kenderaan menerusi aplikasi peranti pintar.
Dari segi kosmetik pula, sangat minima perubahan yang dibawakan seperti penggunaan warna kulit baharu pada tempat duduk, warna krom gelap pada papan pemuka, corong ventilasi dengan kemasan berkilat serta lampu ambien berwarna biru.
Penampilan luaran Ioniq sedikit menyerupai haiwan panda kekurangan tidur, boleh dilihat pada muka hadapan dengan lampu utama dan DRL yang telah direka semula dan diakhiri dengan gril tertutup, juga dengan rekaan baharu.